Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Turkiye akui bantuan hadapi masalah, kematian cecah 12,000

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengakui terdapat masalah dengan tindak balas awal kerajaannya terhadap gempa bumi yang dahsyat di selatan negara itu.

Masalah itu dikatakan sehingga mencetuskan kemarahan rakyat terutamanya mangsa-mangsa yang tercedera yang kecewa dengan kelewatan ketibaan dan tindak balas perlahan pasukan penyelamat.

Erdogan, yang akan bertanding pada pilihan raya umum Turkiye pada Mei depan berkata, dalam lawatan ke zon bencana, dia mendapati operasi kini berfungsi seperti biasa dan berjanji bahawa tiada sesiapa pun akan dibiarkan tanpa tempat tinggal susulan bencana itu.

Setakat ini, jumlah kematian yang dilaporkan di Turkiye dan jirannya, Syria meningkat melepasi 12,000 orang.

Di selatan Turkiye, orang ramai dilaporkan mencari tempat perlindungan sementara dan makanan dalam cuaca musim sejuk yang membeku.

Mereka menunggu dalam kesedihan di sekitar timbunan runtuhan bangunan yang telah menimbuskan keluarga dan rakan-rakan mereka.

Pasukan penyelamat masih menemukan beberapa mangsa yang masih hidup. Namun, ramai penduduk Turkiye mengadu tentang kekurangan peralatan, kepakaran dan sokongan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap dan mendakwa ada kalanya mereka terdengar jeritan mangsa meminta pertolongan.

“Mana kerajaan? Mana mereka (penyelamat) selama dua hari ini? Kami merayu, biar kami lakukannya sendiri, kami boleh keluarkan mereka,” kata seorang mangsa yang terselamat, Sabiha Alinak.

Aduan dan rungutan yang sama berlaku di negara jiran, Syria yang menyaksikan bahagian utara negara itu paling teruk terjejas akibat gegaran Isnin lalu.

Duta Syria ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengakui kerajaan negara itu mempunyai kekurangan keupayaan dan kekurangan peralatan selain menyalahkan lebih sedekad perang saudara di negara berkenaan dan juga sekatan Barat. 

- Reuters

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS