Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan tembak jatuh MH17 tamat walau petunjuk kukuh penglibatan Putin

Pendakwa raya antarabangsa berkata pada Rabu mereka telah menemui "petunjuk kukuh" bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin meluluskan penggunaan sistem peluru berpandu Rusia di Ukrainie yang menembak jatuh Pesawat Malaysia Airlines 17 (MH17) di timur Ukraine pada 2014.

Bagaimanapun, mereka berkata bukti penglibatan Putin dan pegawai Rusia yang lain tidak cukup konkrit untuk mensabitkan kesalahan jenayah dan akan menamatkan siasatan mereka tanpa pendakwaan lanjut.

Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam insiden itu, yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

"Siasatan kini telah mencapai kemuncaknya," kata pendakwa raya Digna van Boetzelaer pada sidang akhbar di The Hague.

"Penemuan itu tidak mencukupi untuk mendakwa suspek baru," tambahnya.

Pada November, mahkamah Belanda mensabitkan dua bekas ejen perisikan Rusia dan seorang pemimpin pemisah Ukraine atas pembunuhan kerana membantu mengatur sistem peluru berpandu BUK Rusia yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu.

Ketiga-tiga lelaki itu, yang dibicarakan secara in absentia (tanpa kehadiran), masih bebas.

Ketika pesawat itu ditembak jatuh, tentera Ukraine sedang memerangi puak pemisah yang disokong oleh Rusia di wilayah Donetsk di timur Ukraine.

Semasa Rusia menakluk Crimea dari Ukraine pada Mac 2014, ia menafikan penglibatan tentera dalam pertempuran di Donetsk pada masa itu.

Namun sebagai sebahagian daripada sabitan terhadap tiga lelaki itu pada November, mahkamah Belanda memutuskan bahawa Rusia sebenarnya mempunyai "kawalan keseluruhan" terhadap pasukan pemisah di Donetsk, bermula dari Mei 2014.

Pendakwa raya berkata pada Rabu mereka tidak dapat mengenal pasti tentera khusus yang bertanggungjawab menembak sistem peluru berpandu yang menjatuhkan pesawat itu, yang datang dari briged ke-53 Rusia di Kursk.

Mereka menyebut mengenai pintasan telefon pada 2014 antara pegawai Rusia sebagai bukti bahawa kelulusan Putin diperlukan sebelum permintaan terhadap peralatan yang dibuat oleh pemisah boleh diberikan.

Selain itu, mereka memainkan perbualan pada 2017 antara Putin dan ketua pentadbir wilayah Luhansk Ukraine yang dilantik oleh Rusia, di mana mereka membincangkan situasi ketenteraan dan pertukaran tahanan.

Rusia menyerang Ukraine pada Februari 2022 dalam apa yang disebut sebagai "operasi ketenteraan khas" dan mengumumkan pada September bahawa ia telah menggabungkan Donetsk dan tiga wilayah Ukraine yang lain.

Piet Ploeg, yang mengetuai sebuah yayasan yang mewakili para mangsa, berkata dia kecewa kerana siasatan telah ditamatkan, namun gembira kerana pendakwa raya telah mengemukakan bukti mereka mengenai penglibatan Putin.

"Kami tidak boleh berbuat banyak dengannya, Putin tidak boleh didakwa.

“"Kami ingin tahu siapa yang akhirnya bertanggungjawab dan itu jelas,” katanya.

Abang Ploeg, adik iparnya dan anak saudaranya meninggal dunia dalam insiden membabitkan MH17.

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS