Seorang bekas pengurus perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa dia berasa tertekan ketika mengendalikan akaun Najib Razak.
Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata dia terkejut apabila Low Taek Jho, atau Jho Low, memaklumkan hasrat Najib untuk membuka akaun dengan AmBank.
"Saya agak terkejut kerana saya tidak sangka perdana menteri Malaysia mahu membuka akaun dengan AmBank. Saya mengandaikan bahawa dia akan ke bank kerajaan atau Maybank.
"Jadi, saya kata 'okey' dan Jho Low kata 'itu bukan tahap kamu, ia mesti tahap Cheah Tek Kuang (pengarah urusan AmBank ketika itu) dan ke atas untuk berjumpa dengan Datuk Seri.’ Jadi, semasa ia bermula, saya tidak mempunyai sebarang jangkaan. Kami hanya teruskan dan Cheah akan berjumpa dengan Datuk Seri.
"Tetapi selepas itu, apabila akaun terlebih pengeluaran dan terdapat keadaan yang menyaksikan cek mungkin ditendang, kami dimaklumkan bahawa kami tidak boleh berbuat demikian kerana dia adalah perdana menteri, saya berada dalam keadaan yang amat tertekan. Jadi, ia adalah sesuatu yang mencabar dan banyak beri tekanan," katanya.
Yu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan kes Najib membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.
Ahmad Akram: Jika kamu membiarkan cek itu ditendang, apa yang akan berlaku?
Yu: Saya tidak tahu. Kami bimbang dengan laporan negatif media jika cek PM ditendang. Apa sahaja boleh berlaku. Kesemua cek ini dikeluarkan oleh PM Malaysia... Saya berasa amat tertekan ketika itu.
Ahmad Akram: Kamu kata media mungkin menghidu berita bahawa nama PM akan tercemar jika cek terbabit dibenarkan ditendang. Mengapa anda fikir begitu?
Yu: Ini Malaysia. Saya tidak boleh katakan dengan pasti namun saya ingat ia berkaitan politik dan ini adalah akaun PM. Kami tidak membenarkan cek terbabit ditendang kerana kami tidak mahu ia memberi kesan terhadap bank dan Malaysia.
Saksi pendakwaan ke-41 itu turut memaklumkan mahkamah bahawa Najib tidak mempertikai sumber wang yang digunakannya.
Ditanya Ahmad Akram sama ada Najib perlu menggunakan dana dalam akaun peribadinya untuk membuat pembayaran bagi mengeluarkan cek dan bil kad kredit tanpa mengetahui jumlah wang yang ada dalam bank, Yu berkata "dia percaya terdapat wang dalam bank untuk membuat pembayaran terbabit".
Kepada soalan lain, saksi itu berkata terdapat banyak cek yang dikeluarkan daripada akaun Najib namun bekas perdana menteri itu tidak pernah mengadu bahawa sebenarnya kesemua cek bukan dikeluarkan olehnya.
Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Bagi pertuduhan rasuah, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, dia didakwa melakukan perbuatan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
-Bernama