Syarikat pemaju Far East Melaka merancang untuk membina pelabuhan laut dalam seluas 481.5 hektar di Melaka, namun organisasi alam sekitar memberi amaran projek penambakan laut berskala besar itu akan membahayakan haiwan laut terancam seperti ikan lumba-lumba dan penyu.
Tapak projek itu juga berdekatan dengan cadangan taman laut yang pertama di negeri itu.
Laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang dihantar Far East menyatakan ikan lumba-lumba Indo Pacific Humpback (tersenarai sebagai rentan dalam Senarai Merah IUCN) dan ikan lumba-lumba Irrawaddy (tersenarai sebagai terancam) sering ke Selat Melaka, termasuk dalam kawasan yang dicadangkan untuk menjadi tapak pelabuhan itu.
"Satu kajian (pada 2000) melaporkan dua ekor ikan lumba-lumba Indo Pacific Humpback dilihat dekat Pulau Besar, Melaka, pada November 1999," kata laporan itu.
"Sepasang ikan lumba-lumba, kemungkinan jenis Indo Pacific Humpback atau Irrawaddy, juga dilihat dekat Pulau Upeh pada 22 Disember 2020. Kedua-dua pulau terletak dalam lingkungan enam kilometer kawasan terkesan dengan projek penambakan yang dicadangkan."
Laporan EIA mendapati sebelum ini sekumpulan kecil ikan lumba-lumba sering dilihat dekat Pulau Upeh, berdekatan dengan pesisir Melaka. Namun, kewujudannya kini hanya kadang-kadang dilihat ekoran kegiatan manusia di sepanjang pesisir.
Perlu dinyatakan bahawa sebuah lagi syarikat penambakan, Bitara Niaga Development, menyatakan dalam laporan EIA yang dihantar pada November lalu bahawa ikan lumba-lumba Irrawaddy dilihat dua kali dan ikan lumba-lumba Indo Pacific Humpback dilhat sekali di perairan kira-kira lapan kilometer dari cadangan tapak pelabuhan.
Dengan kata lain, cadangan projek itu berdekatan dengan habitat banyak ikan lumba-lumba yang terancam.
Ikan lumba-lumba mati di pantai
Sebelum ini berlaku insiden ikan lumba-lumba hanyut dan mati di pantai di Melaka.
Laporan EIA menyatakan dua insiden sedemikian, yang berlaku pada Jun 2015 dan September 2018. Kedua-duanya berlaku dalam lingkungan 19 kilometer dari cadangan tapak pelabuhan.
"Insiden pada 2018 dilaporkan di pantai Tanah Merah Jaya, Pantai Puteri, yang terletak dalam 15 kilometer dari cadangan tapak pelabuhan. Bangkai ikan lumba-lumba Indo Pacific ditemui di tapak itu. Kemudian didedahkan ikan lumba-lumba itu (anggaran panjang 1.4 meter) mati ekoran tekanan dan malnutrisi," menurut laporan itu.
Dalam satu insiden lain, seekor ikan lumba-lumba Irrawaddy dewasa didapati mati dengan kesan lebam teruk pada bahagian bawah kaki sirip kanan dan dipercayai tidak mendapat makanan selama beberapa hari sebelum itu.
Laporan itu tidak menyatakan kaitan antara ikan lumba-lumba hanyut dengan projek tambak laut. Namun, laporan itu menegaskan ikan lumba-lumba sangat sensitif dengan pergerakan atau bunyi yang asing, termasuk tongkang dan pengangkut pasir yang "berisiko mengganggu kegiatan ikan lumba-lumba".
"Jumlah bunyi ekoran tongkang dan pengangkut pasir bergantung kepada beberapa faktor...secara umumnya semakin besar saiz kapal dan semakin pantas kelajuannya, semakin bising bunyi yang dihasilkan.
"Ketika pergerakan kapal, ikan lumba-lumba akan mengelak dari laluannya. Ini mungkin mengganggu kegiatan mencari makanan oleh spesies ini."
Penambakan ganggu penyu
Selain ikan lumba-lumba, laporan EIA juga membangkitkan kewujudan dan habitat penyu terancam di kawasan perairan.
Menurutnya, dalam lingkungan radius enam kilometer dari cadangan tapak pelabuhan, terdapat tiga tapak pendaratan penyu - Pulau Besar, Pulau Lalang dan Pulau Upeh.
Laporan itu menyatakan mendapan yang terhasil akibat kegiatan penambakan tidak akan sampai ke pulau-pulau ini.
Namun, bunyi dan getaran ekoran kegiatan itu boleh mengganggu pergerakan penyu dengan menghalang mereka menggunakan laluan yang lazim, seterusnya mendedahkan hawain ini kepada lebih banyak pemangsa, kata laporan itu lagi.
Kawasan sensitif dan taman laut
Laporan itu menyenaraikan beberapa kawasan yang sensitif dari aspek alam sekitar berdekatan tapak pelabuhan yang dicadangkan.
Ketika mesyuarat "Terms of Reference Adequacy (Torac)", NGO alam sekitar Sahabat Alam Malaysia (SAM) membangkitkan cadangan tapak penambakan di bawah kategori ESA Environmentally Sensitive Areas) Rank 1 dan Rank 2 dengan pokok bakau, rumput laut, terumbu karang, dataran lumpur serta kawasan yang dirancang untuk diwartakan sebagai taman laut.
SAM berkata pelabuhan itu terletak hanya 1.75 kilometer dari kawasan larangan tambak seperti Pulau Serimbun, Pulau Besar dan Pulau Lalang.
Kawasan cadangan projek juga sangat dekat dengan cadangan taman laut yang pertama di Melaka, iaitu kurang dari tiga batu nautika dari Pulau Dodol, Pulau Nangka dan Pulau Undan.
"Di kawasan sekitar, juga ada banyak karang semula jadi dan karang buatan oleh Jabatan Perikanan.
"Maka, wajar untuk menilai impak terhadap tiga pulau yang ditanda untuk dijadikan taman laut ini, serta kepelbagaian bio marin di kawasan sekitar."
Dalam respons balasnya, syarikat pemaju mendakwa taman laut baru di peringkat cadangan dan belum diluluskan.
Pada 2021, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dilaporkan memaklumkan rancangan untuk mewartakan tiga pulau itu sebagai Taman Laut Negara yang pertama di Melaka bagi memastikan kelestarian kepelbagaian bio marin di kawasan itu. Ia kini sedang menunggu untuk diluluskan kerajaan negeri.
Kesan pada pokok bakau, terumbu karang
Laporan EIA juga menyatakan pokok bakau ditemukan di sepanjang pesisir pantai, dari Kampung Portugis di Melaka Tengah hingga Serkam di Jasin, selain 13 pulau di sepanjang kawasan itu.
Pokok bakau memberikan perlindungan kepada hidupan laut serta mengurangkan hakisan pinggir laut. Ia juga boleh berfungsi sebagai petunjuk biologi untuk perubahan pesisir dan peningkatan paras laut.
Namun, laporan EIA menegaskan pokok bakau di situ tidak banyak dan terletak berselerak, dan tiada kawasan hutan bakau yang besar di situ.
Menurut laporan itu lagi, mendapan akibat kegiatan penambakan tidak akan merebak melangkaui sempadan tambak, maka "tiada kesan signifikan terhadap pokok bakau di sepanjang pesisir".
Sementara itu, laporan itu menyatakan kewujudan terumbu karang di Pulau Panjang (terletak 1.3 kilometer dari laluan pengangkutan pasir) dan Pulau Serimbun (terletak 4.8 kilometer dari laluan pengangkutan pasir).
Dua pulau ini juga masing-masing terletak 2.2 kilometer dan 3.3 kilometer dari laluan pengangkutan batu.
Pasukan EIA menyuarakan kebimbangan pergerakan kapal korek pasir dan batu boleh mencetuskan gegaran yang boleh memberi kesan kepada terumbu karang di dua pulau ini.
"Gegaran diketahui menggangu aliran air dan mengubah corak pasang surut yang boleh mengganggu bekalan nutrien terumbu.
"Gegaran dari kapal korek juga diketahui mencetuskan kekeruhan, yang diketahui mengancam karang."
Namun laporan EIA menekankan penampan antara laluan kapal dan pulau adalah lebih satu kilometer, maka "disimpulkan yang gegaran kapal tidak memberikan bahaya yang tidak dapat dielakkan kepada terumbu karang."
Walaupun sudah ada beberapa pelabuhan yang dirancang di sepanjang Selat Melaka, Far East berhasrat membina "pelabuhan laut dalam pelbagai guna antarabangsa" seluas 481.5 hektar (bersamaan 899 padang bola) dekat Alai.
Bekas ahli Majlis Perbandaran Pontian dari MCA, Ling Kah Chok merupakan pemegang saham terbesar syarikat itu.
Selain itu, laporan EIA turut membangkitkan kebimbangan bahawa projek itu akan memberi kesan besar terhadap ekologi laut dan tangkapan ikan, dengan itu menjejaskan pendapatan nelayan setempat dan industri perikanan.
Dr Nik and Associates Sdn Bhd merupakan syarikat perunding yang bertanggungjawab menghasilkan laporan EIA projek ini. Sesi maklum balas awam bagi EIA ini tamat pada 2 Februari lalu.
[Baca berita asal]