Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin Covid-19 dalam sidang Parlimen akan datang.
Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memutuskan untuk membuat pembentangan itu setelah mendapati urusan perolehan tidak mengikut peraturan.
"KKM akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin dan kos yang berkaitan.
"(Ia selepas)... tidak mengikuti peraturan dan ditandantangani oleh menteri tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara.
"Kami membuat keputusan mengenai pembentangan ini terutama kerana penemuan oleh kementerian mengenai keteraturan, urus niaga, kelulusan yang diberikan tidak mengikut proses dan perolehan beberapa nombor dan kos yang boleh dipersoalkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Putrajaya, hari ini.
Dia berkata kertas putih itu akan dibentangkan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
SPRM mula menjalankan siasatan berhubung perolehan vaksin Covid-19 pada tahun lalu.
Tidak jelas sama ada Anwar merujuk bekas menteri kesihatan Dr Adham Baba atau penggantinya, Khairy Jamaluddin.
Terdapat pertindihan dalam perolehan vaksin antara KKM yang diketuai Adham dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang diketuai Khairy pada 2020 dan 2021.
Kedua-duanya juga telah menyatakan mereka akan memberi kerjasama kepada SPRM dalam siasatan itu.
Tanpa mendedahkan menteri yang perlu memberi penjelasan, Anwar berkata: "Soal utama juga bukan siapa menteri, tetapi menteri-menteri terlibat perlu jawab dan memberi penjelasan berhubung perkara itu."
Angkat kelemahan tindakan
Kementerian Kewangan sebelum ini menurunkan kuasa kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi memuktamadkan perolehan vaksin di peringkat kementerian masing-masing.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memudah cara dan menyegerakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Sementara itu, Anwar mengesahkan kertas putih mengenai kes Batu Puteh turut akan dibentang di parlimen untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said akan menyediakan kertas putih itu.
"Masalah yang kita hadapi ialah kerana laporan pasukan khas membantah keputusan untuk tidak merayu yang mengakibatkan kehilangan wilayah Malaysia dan saudara tahu kehilangan wilayah di mana-mana negara adalah masalah besar,” katanya.
Untuk rekod, Peguam Negara Idrus Harun sebelum ini berkata tindakan menarik balik dua permohonan semakan terhadap keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah tidak teratur dan tidak wajar.
Pada 3 Feb 2017, kerajaan Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 yang memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Batu Puteh manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.
Bagaimanapun pada 2018, kerajaan PH di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan semakan tersebut sebelum kes itu dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ.
Pada 14 Dis lepas, Anwar mahu isu tuntutan Batu Puteh dikaji semula supaya rundingan segera dan lebih bermakna dapat diadakan dengan Singapura.
Anwar menambah dia telah menjelaskan kepada perdana menteri negara itu Lee Hsien Loong bahawa keputusan dibuat Malaysia tidak akan menjejaskan hubungan baik dua hala.
"(Ia juga) tidak jejaskan kedudukan status Batu Puteh yang sekarang ini sudahpun menjadi milik Singapura mengikut keputusan ICJ.
"Tindakan kelemahan yang melanggar proses itu terpaksa diangkat… sebab itu, Jemaah Menteri bincang panjang tentang langkah-langkah yang harus diambil dan keputusannya (atas) kebijaksanaan parlimen," katanya.