Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Taman Negeri Selangor adalah melanggar keputusan yang dibuat oleh DUN Selangor, kata Setiausaha Agung Parti Hijau Abdul Razak Ismail.
Ini susulan kenyataan pemilik projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), bahawa pembersihan tanah bagi laluan di bahagian Selangor projek itu tidak melibatkan penyahgazetan hutan simpan.
MRL berkata firma itu telah mendapat permit izin lalu daripada Jabatan Perhutanan supaya kontraktornya boleh memasuki hutan simpan tersebut untuk menjalankan aktiviti berlesen berkaitan projek itu.
Mengulas kenyataan itu, Razak berkata MRL terlepas pandang dua keputusan penting yang dibuat oleh DUN Selangor mengenai pemuliharaan hutan simpan di negeri itu.
“Pada 2010, kerajaan negeri Selangor mengenakan moratorium selama 25 tahun ke atas pembalakan di hutan simpan.
“Kedua, DUN Selangor pada 2020 meluluskan usul menggesa kerajaan negeri melindungi dan memelihara hutan simpan yang diwartakan,” katanya.
Menghina DUN Selangor
Razak berkata permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, membenarkan kontraktor memasuki hutan simpan dan menjalankan kerja-kerja pembersihan hutan, adalah bercanggah dengan kedua-dua keputusan dewan undangan itu.
“Kami menganggap tindakan itu menghina DUN.
“Kelulusan kerajaan negeri untuk pembinaan landasan ECRL melalui taman hutan negeri, hutan simpan Hulu Gombak dan hutan simpan Serendah perlu dibentangkan di DUN kerana ia bertentangan dengan usul memelihara hutan simpan di negeri ini,” katanya.
Dia juga berkata kerajaan negeri melakukan kesilapan apabila exco kerajaan negeri, pada 24 Nov 2021, bersetuju menukar jajaran ECRL daripada yang asal meliputi Bentong-Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang tanpa memaklumkan kepada DUN.
“Jajaran baharu itu telah memasuki kawasan hutan simpan Hulu Gombak dan hutan simpan Serendah.”
MB kata lain, exco kata lain
Justeru, Razak menyeru Adun yang sebulat suara meluluskan usul memelihara hutan simpan pada 2020 agar tidak menjadi “pengecut”, sebaliknya menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan negeri kerana meluluskan projek ECRL.
Jumaat lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pemaju projek itu, China Communications Construction Company (CCCC), bertanggungjawab untuk pembersihan tanah yang dilaporkan sudah dimulakan di taman negeri itu.
Menurut laporan Malay Mail, Amirudin berkata syarikat pembinaan China itu telah memperoleh permit untuk membersihkan tanah yang diperuntukkan untuk jalan sepanjang 2.3km tersebut untuk "kemudahan masuk" tetapi telah memulakan pembinaan "tanpa kelulusan".
Exco Selangor Hee Loy Sian kemudiannya tampil mempertahankan pembinaan ECRL dengan mengatakan bahawa projek di taman negeri itu sentiasa dipantau untuk memastikan ia mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan.
Hee juga menjelaskan bahawa pemilik projek MRL itu telah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi Seksyen C2 (Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang) pada 30 Nov 2021.
Belum ada laporan EIA
Sebelum ini, pemantau alam sekitar Projek Pendedahan Rimba menuding jari kepada aktiviti CCCC di Taman Negeri Selangor yang dilindungi, mengatakan bahawa ia mendapati - melalui imej satelit - aktiviti yang boleh dipersoalkan yang kelihatan seperti pembersihan tanah.
Ia kemudian menjalankan siasatan lapangan di sekitar lokasi dan mendapati notis pembinaan telah didirikan, menunjukkan jalan sedang dibina untuk bahagian Gombak-Pelabuhan Klang ECRL.
Sementara itu, Parti Hijau berkata, pihaknya berasa sedih dengan sikap kerajaan persekutuan membenarkan pembersihan sebahagian kawasan hutan simpan Hulu Gombak dan hutan simpan Serendah untuk laluan kereta api ECRL tanpa terlebih dahulu mendapat laporan EIA yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar ( JAS).
“Laporan yang kami terima daripada Projek Pendedahan Rimba berdasarkan imej satelit jelas menunjukkan sekurang-kurangnya empat lokasi di dua hutan simpan itu telah dibersihkan baru-baru ini.
“Semakan portal laman web JAS menunjukkan bahawa pemilik projek, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, belum menyerahkan laporan EIA kepada JAS,” kata Razak.
Dia berkata, Parti Hijau sedar bahawa pembersihan itu adalah "laluan kecemasan" projek kerajaan persekutuan seperti yang tertera pada papan tanda projek, tetapi ia harus mematuhi sepenuhnya undang-undang seperti mendapatkan kelulusan EIA sebelum dilaksanakan.