Presiden Turki Tayyip Erdogan hari ini mengisytiharkan darurat di 10 wilayah yang musnah teruk akibat dua gempa bumi yang mengorbankan lebih 5,100 orang dan meninggalkan jejak kemusnahan merentasi kawasan luas di selatan Turkiye dan negara jiran Syria.
Sehari selepas gempa melanda, penyelamat bergelut “mengejar masa” untuk menggali orang ramai keluar dari runtuhan bangunan.
Ketika skala bencana semakin ketara, angka kematian dipercayai akan meningkat dengan ketara. Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata adalah dikhuatiri beribu-ribu kanak-kanak mungkin terbunuh.
Ribuan bangunan tumbang, hospital dan sekolah musnah, dan puluhan ribu orang cedera atau kehilangan tempat tinggal di beberapa bandar di Turkiye dan Syria apabila gempa bumi berukuran 7.8 magnitud - yang paling maut di Turkiye sejak 1999 - dan yang kedua sejam kemudian.
Cuaca sejuk yang melampau turut menghalang usaha menyelamat dan penyampaian bantuan, serta menjadikan nasib gelandangan dalam keadaan yang lebih menyedihkan. Beberapa kawasan juga tidak mempunyai bekalan bahan api dan elektrik.
Pegawai bantuan menyuarakan kebimbangan khusus mengenai situasi di Syria, yang sebelum ini pun sudah dilanda krisis kemanusiaan selepas perang saudara hampir 12 tahun.
Dalam ucapannya, Erdogan mengisytiharkan 10 wilayah Turki yang terjejas sebagai zon bencana dan mengumumkan darurat di wilayah berkenaan selama tiga bulan. Ini akan membenarkan presiden dan kabinet memintas Parlimen dalam menggubal undang-undang baharu dan mengehadkan atau menggantung hak dan kebebasan.
Kerajaan merancang untuk menggunakan hotel di hab pelancongan Antalya, di sebelah barat, untuk menempatkan sementara mangsa yang terjejas akibat gempa bumi, kata Erdogan, yang berdepan pilihan raya umum dalam masa tiga bulan.
Angka kematian di Turkiye telah meningkat kepada 3,549 orang, kata Erdogan. Di Syria, jumlah korban mencecah lebih 1,600, menurut kerajaan dan perkhidmatan penyelamat di barat laut yang dikuasai pemberontak.
Pihak berkuasa Turkiye berkata kira-kira 13.5 juta orang terjejas di kawasan yang merangkumi kira-kira 450km dari Adana di barat ke Diyarbakir di timur, dan 300km dari Malatya di utara ke Hatay di selatan. Pihak berkuasa Syria pula melaporkan kematian dicatatkan sejauh selatan Hama, kira-kira 100km dari pusat gempa.
"Ia kini perlumbaan dengan masa," kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia Tedros Adhanom Ghebreyesus di Geneva.
"Setiap minit, setiap jam yang berlalu, peluang untuk mencari mangsa yang masih hidup semakin tipis."
Di seluruh wilayah, penyelamat bertungkus-lumus sepanjang siang dan malam mencari mangsa yang terselamat ketika orang ramai menunggu dalam kesedihan di tepi timbunan runtuhan, berpaut pada harapan bahawa rakan dan saudara-mara mereka mungkin ditemui masih hidup.
Di bandar Antakya di Turki, ibu kota wilayah Hatay berhampiran sempadan Syria, terdengar suara seorang wanita meminta pertolongan di bawah timbunan runtuhan. Wartawan Reuters melihat mayat kanak-kanak kecil terbaring tidak bernyawa berhampiran.
Sambil menangis dalam hujan, seorang penduduk yang memberitahu namanya sebagai Deniz mengangkat tangannya tanda telah berputus asa.
"Mereka meraung dan menjerit tetapi tiada siapa yang datang," katanya.
"Kami hancur luluh. Tuhanku... rayu mereka sambil berdoa agar diselamatkan tetapi kami tidak dapat menyelamatkan mereka. Bagaimana kami mahu menyelamatkan mereka? Tiada sesiapa yang datang sejak pagi."
Ayla, berdiri di tepi timbunan runtuhan, tempat bangunan lapan tingkat pernah berdiri, berkata dia memandu ke Hatay dari Gaziantep pada hari Isnin untuk mencari ibunya. Pasukan penyelamat dari jabatan bomba Istanbul bekerja di runtuhan.
"Belum ada mangsa yang terselamat," katanya.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (Afad) berkata 5,775 bangunan musnah dalam gempa bumi itu dan 20,426 orang cedera.
Kebakaran besar masih marak sehingga hari ini di pelabuhan selatan Turkiye di Iskenderun. Rakaman dron dari Hatay menunjukkan berpuluh-puluh blok pangsapuri runtuh, memberi petunjuk bahawa jumlah kematian sebenar mungkin jauh lebih besar daripada jumlah yang dilaporkan.
Di Geneva, jurucakap Unicef James Elder berkata: "Gempa bumi ini... mungkin telah membunuh beribu-ribu kanak-kanak."
Puluhan sekolah, hospital, dan kemudahan perubatan dan pendidikan lain telah rosak atau musnah, katanya.
Pelarian di barat laut Syria dan di Turkiye adalah antara mereka yang paling teruk terjejas, kata Elder.
Di bandar Hama di Syria, Abdallah al Dahan berkata pengebumian ahli keluarganya sedang berlangsung hari ini.
"Ia adalah pemandangan yang menakutkan dalam setiap segi," kata Abdallah, ketika dihubungi melalui telefon.
"Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah melihat apa-apa seperti ini, di sebalik apa yang pernah berlaku kepada kami."
Masjid membuka pintu mereka kepada keluarga yang rumah mereka musnah.
Angka kematian di kawasan yang dikuasai kerajaan Syria meningkat kepada 812, lapor agensi berita negara Sana. Di barat laut yang dikuasai pemberontak, jumlah korban adalah lebih daripada 790, menurut pertahanan awam Syria, sebuah perkhidmatan penyelamat yang dikenali sebagai White Helmets yang terkenal dengan menggali mangsa dari runtuhan serangan udara kerajaan.
"Pasukan kita sedang berusaha dengan bertungkus lumus, tetapi mereka tidak dapat menampung terhadap malapetaka dan jumlah besar bangunan yang runtuh," kata ketua kumpulan itu, Raed al-Saleh.
Masa semakin suntuk untuk menyelamatkan ratusan keluarga yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan bantuan segera diperlukan daripada kumpulan antarabangsa, katanya.
Seorang pegawai kemanusiaan PBB di Syria berkata kekurangan bahan api dan cuaca buruk menimbulkan halangan.
“Infrastruktur rosak, jalan raya yang biasa kami gunakan untuk kerja-kerja kemanusiaan rosak,” kata penyelaras residen PBB El-Mostafa Benlamlih kepada Reuters dari Damsyik.
Sambungan internet yang lemah dan jalan raya yang rosak di antara beberapa bandar Turkiye yang paling teruk dilanda bencana, juga menghalang usaha untuk menilai kesan dan merancang bantuan.
- Reuters