Dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyarankan supaya kerajaan segera meminda semula Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 agar usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengekang kegiatan jenayah komersial boleh dilakukan dengan lebih berkesan.
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia dan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia berharap undang-undang yang lebih ketat akan membantu PDRM memastikan mereka yang terlibat dengan kegiatan jenayah komersial menerima hukuman setimpal.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia Datuk Hishamuddin Hashim berkata pada masa ini PDRM berdepan banyak kesukaran dalam mendapatkan bukti bagi membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan, seperti melibatkan Seksyen 4 yang menyentuh perihal kebenaran dan tempoh reman individu ditahan di bawah akta tersebut.
"Sebenarnya sukar untuk polis mengesan dalang utama kerana sindiket-sindiket ini menggunakan proksi atau penama yang tidak mempunyai sebarang aset, atau tidak kisah berdepan risiko atau saman sivil. Sebab itu bila nak buat tangkapan atau jejak wang, sukar untuk buktikan sampai kepada penjenayah utama.
"Undang-undang yang ada hari ini... dari sudut siasatan seolah-olah tidak berpihak kepada PDRM sekali gus memberi kesan kepada mangsa. Tidak seperti jenayah dadah yang ada Langkah-Langkah Pencegahan Khas, jenayah komersial ini agak lambat, mungkin salah satunya berhubung Akta Keterangan 1950," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat dan menyerahkan 200 laporan polis dibuat mangsa penipuan pelaburan Zutello kepada Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Muhammed Hasbullah Ali di Kuala Lumpur, semalam.
"Jadi sudah tiba masanya polis sebagai penguat kuasa undang-undang dan bagi mangsa, mereka perlukan undang-undang bersifat pencegahan yang lebih ketat agar tidak ramai lagi individu di luar sana menjadi mangsa," katanya.
Beliau berkata siasatan menerusi Akta Keterangan atau pengesahan perbankan juga akan menjadi lebih sukar jika pindahan wang dibuat sindiket berkenaan bukan berbentuk wang tetapi dalam mata wang kripto.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia Tan Sri Musa Hassan yang turut serta dalam kunjungan itu berkata beliau akan memanjangkan perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.
Mengulas mengenai kenapa kebanyakan kes-kes scammer hanya berakhir dengan tindakan saman sivil, beliau berkata PDRM sudah menjalankan siasatan namun disebabkan faktor kurangnya keterangan, kes berkenaan gagal dituduh di peringkat Peguam Negara.
"Polis hanya menjalankan siasatan dan sama ada hendak dituduh atau tidak, itu atas kuasa budi bicara Peguam Negara. Kadangkala apabila sampai ke Peguam Negara dan didapati kurang keterangan yang kukuh maka ia gagal dituduh.
"Itulah sebabnya kita perlukan undang-undang pencegahan untuk bawa sindiket ini ke pengadilan kerana ketua-ketua sindiket ini tidak terlibat secara langsung. Mangsa-mangsa ini juga tidak pernah berjumpa dengan dalang scam berkenaan," katanya.
Pada April tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa keseluruhan Seksyen 4 POCA 1959 adalah tidak berperlembagaan dan menasihatkan agar semua tangkapan yang dibuat oleh PDRM di bawah akta berkenaan ditangguhkan hingga suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
- Bernama