ULASAN | Australia dan Malaysia sentiasa berdiri bersama; kawan baik memang begini. Kita berkongsi sejarah dan masa depan.
Pada 27 Januari 2021, Australia dan Malaysia telah menaik taraf hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP). Ini adalah kemuncak perkongsian yang disokong di peringkat tertinggi.
Ia memberi komitmen untuk mendalami lagi kerjasama antara negara dalam bidang baru dan memodenkan hubungan kita untuk generasi yang akan datang.
Australia dan Malaysia berkongsi aspirasi untuk penglibatan dan kemakmuran ekonomi yang lebih besar demi keamanan dan kestabilan serantau, dan untuk kerjasama lebih kukuh dalam menangani isu seperti perubahan iklim dan peralihan tenaga sehinggalah kepada keselamatan kesihatan.
Sepanjang dua tahun di bawah CSP, kita telah mencapai kemajuan yang ketara dalam bidang-bidang ini.
Menurut data terkini, Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar Australia di kalangan negara anggota Asean dan rakan kongsi ke-9 terbesar di dunia.
Jenama-jenama utama Australia telah menubuhkan ibu pejabat Asia mereka dan mengembangkan pangkalan pembuatan mereka di Kuala Lumpur. Manakala syarikat Malaysia seperti Gamuda telah meningkatkan keberadaan mereka di Australia.
Tumpuan utama perdagangan dua hala adalah dalam bidang pertanian, perikanan dan produk perhutanan. Ia saling melengkapi dan mempunyai potensi yang besar untuk berkembang. Kami meningkatkan pengawalseliaan untuk memastikan bekalan makanan sampai kepada pengguna dengan gangguan yang minimum.
Pada tahun 2022, acara halal utama Malaysia - Persidangan Perniagaan Halal Sedunia - telah diadakan di Melbourne. Ia kali pertama acara ini diadakan di luar Malaysia.
Harapan kami daripada kerjasama ini adalah supaya Australia dan Malaysia akan bekerjasama dalam menghasilkan produk nilai tambah halal.
Kami juga melihat potensi yang sangat besar dalam teknologi dan ekonomi digital. Kita bekerjasama untuk merealisasikan peluang dalam bidang kesihatan digital, perkhidmatan kewangan, penyimpanan data dan analitik, kecerdasan buatan dan realiti tambahan.
Agensi perdagangan mengurangkan kerenah birokrasi menerusi perdagangan tanpa kertas dan agensi keselamatan kita bekerjasama dalam keselamatan siber untuk menyokong ekonomi digital moden.
Perubahan iklim dan ekonomi hijau adalah keutamaan selanjutnya untuk kerjasama moden kita. Dengan komitmen kedua-dua negara untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050, pada COP27 November lalu, kita bersama-sama melancarkan projek untuk membina Sistem Pengurusan Maklumat Gas Rumah Hijau Malaysia, yang akan membolehkan pengiraan pelepasan gas rumah hijau yang cekap.
Kami juga meneroka peluang baru dalam peralihan tenaga hijau, termasuk sumber tenaga yang boleh diperbaharui, penyimpanan bateri, pengurusan grid, simpanan kuasa hidro dan hidrogen.
Untuk membina hubungan ekonomi yang saling menguntungkan, pada tahun 2023 Australia akan mendraf Strategi Ekonomi Asia Tenggara hingga 2040 yang baru.
Kami akan berunding dengan Malaysia dan rakan kongsi serantau yang lain untuk mengenal pasti peluang yang muncul dan untuk membawa penglibatan ekonomi kami dengan Malaysia dan rantau ini ke tahap yang lebih tinggi.
Tetapi sudah tentu hubungan kita lebih daripada sekadar ekonomi, dan terdapat banyak lagi detik-detik penting yang akan datang tahun ini.
Pada tahun 2023, Kerajaan Australia akan menyediakan biasiswa untuk 10 warga Malaysia untuk belajar di Australia, bersama pelajar-pelajar dari seluruh Asean. Mereka akan menyertai 17,000 pelajar Malaysia yang sedang belajar di Australia, dan akhirnya menyertai lebih 300,000 alumni Malaysia daripada institusi pendidikan Australia, yang kekal merapatkan hubungan silaturahim antara kedua-dua negara.
Hubungan budaya juga akan terserlah pada tahun 2023, apabila kita menyambut ulang tahun ke-50 hubungan 'sister city' antara Pulau Pinang dan Adelaide pada akhir tahun ini. Hubungan kita memang luas dan mendalam.
Dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, Polis Persekutuan Australia (AFP) juga akan menandakan ulang tahun ke-50 pejabat perhubungannya di Malaysia pada Oktober 2023. Malaysia merupakan jawatan luar negara pertama yang pernah ditubuhkan oleh AFP - lagi bukti hubungan kita yang erat dan bersejarah.
Sejak itu AFP telah membina hubungan yang mendalam dan produktif dengan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan, di samping berkongsi kepakaran, telah mencapai pelbagai kejayaan dalam memerangi jenayah terancang rentas negara dan jenayah terancang yang serius.
Akhir sekali, kerjasama pertahanan dan keselamatan Australia dan Malaysia mempunyai akar yang sangat mendalam, sejak tentera Australia bertempur dalam Kempen Malaya semasa Perang Dunia ke-2.
Pada masa sama ia juga telah terus berkembang dan dimodenkan. Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia telah menyokong anggota tentera untuk mengambil bahagian dalam gabungan latihan, peluang pendidikan profesional dan pertukaran jawatan selama lebih daripada 30 tahun.
Dan kini pegawai dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Sempadan Australia juga bekerjasama rapat untuk memerangi jenayah maritim dan menghalang golongan rentan daripada mempertaruhkan nyawa mereka di laut, termasuk melalui latihan perdana Operasi Redback.
Australia dan Malaysia sentiasa menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai. Australia telah menjadi rakan yang konsisten kepada Malaysia sepanjang sejarahnya, dan kita akan terus bekerjasama untuk merebut peluang baru dan menangani cabaran yang muncul.
Kita berkongsi masa depan di rantau ini dan boleh menyokong aspirasi satu sama lain untuk pembangunan ekonomi serta rantau yang terbuka, stabil dan makmur.
Sambil kita meraikan apa yang telah kita capai bersama dan melihat ke masa hadapan, mari kita memulakan babak yang baru hubungan antara dua negara.
DR JUSTIN LEE adalah pesuruhjaya tinggi Australia ke Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.