Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan benarkan MAIPs mencelah isu anak Loh

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mencelah dan mengubah perintah hak penjagaan tiga kanak-kanak yang memeluk Islam dengan kebenaran sepihak sebelum ini.

Tiga panel hakim - diketuai Has Zanah Mat - sebulat suara bersetuju bahawa undang-undang mencelah itu dikawal oleh Perintah 15 Kaedah 6(2) Mahkamah 2012 yang dibaca bersama Seksyen 96 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

“Bacaan kedua-dua peruntukan ini memberikan hak undang-undang kepada pemohon (Maips) untuk campur tangan, berdasarkan kuasa mereka menurut Seksyen 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis.

“Oleh itu, kami membenarkan rayuan dan mengetepikan perintah mahkamah tinggi pada 15 Jun 2022,” katanya Has Zanah.

Hakim terbabit membacakan keputusan berkenaan di di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Pada 15 Jun tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan (MAIPs) untuk mendapatkan kebenaran menukar perintah hak penjagaan tiga anak yang diperoleh ibu tunggal Loh Siew Hong.

Bekas suami Loh, Muhammad Nagahswaran Muniandy, sebelum itu memeluk Islam dan menukarkan agama ketiga-tiga anak mereka di Perlis.

Langkah susulan diambil

Hakim Evrol Mariette Peters membuat keputusan itu selepas mendapati MAIPs gagal menunjukkan mereka adalah pihak berkepentingan dalam hidup kanak-kanak terbabit.

Dia turut memerintahkan MAIPs agar membayar kos RM8,000 kepada Loh.

Dengan keputusan dibuat Mahkamah Rayuan itu MAIPs boleh memfailkan permohonan di Mahkamah Keluarga Kuala Lumpur untuk mengubah perintah jagaan yang diberikan sebelum ini.

Ketika menyampaikan keputusan berkenaan Has Zanah berkata tidak ada keperluan untuk memikirkan kesahihan atau sebaliknya penukaran agama anak-anak Loh ketika mereka masih di bawah umur.

Untuk rekod anak Loh memeluk Islam semasa berusia 11 dan 15 tahun. Dua daripada mereka merupakan pasangan kembar.

Selain Has Zanah, dua lagi hakim yang mendengar permohonan MAIPs ialah See Mee Chun dan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla bertindak sebagai peguam MAIPs, manakala A Srimurugan dan Shamsher Singh Thind bertindak bagi pihak Loh.

Sementara itu bercakap kepada media, Haniff Khatri berkata pihaknya akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan perintah terdahulu yang diberikan kepada Loh.

"Kami akan membentangkan kes kami di hadapan mahkamah mengapa perintah itu perlu diubah,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS