Indonesia berada satu langkah di hadapan Malaysia dalam memberikan makna baharu kepada “Perpaduan dari Kepelbagaian” dengan rakyat meraikan perayaan-perayaan utama pelbagai etnik, kaum, dan budaya dunia untuk membawa persefahaman dan keharmonian antara tamadun dunia
Dalam perutusan Thaipusam – Chap Goh Mei saya semalam, saya menyatakan pendapat yang Malaysia patut memimpin dunia dalam memberikan makna baharu kepada “Perpaduan dari Kepelbagaian” di mana rakyat Malaysia meraikan perayaan-perayaan utama pelbagai etnik, agama, dan budaya dari seluruh dunia sambil mengekalkan identiti etnik, agama, dan budaya masing-masing.
Tetapi Indonesia telah berada selangkah di hadapan kita dalam memberikan makna kepada “Perpaduan dari Kepelbagaian” dengan orang ramai meraikan perayaan-perayaan utama pelbagai etnik, kaum dan budaya dunia untuk membawa persefahaman dan keharmonian antara tamadun dunia.
Presiden Indonesia, Joko Widodo (Widodo) dan beberapa orang menteri kabinet mereka bukan sahaja menyampaikan ucapan mereka kepada komuniti Cina di Indonesia, dengan Tahun Baru Cina disambut sebagai cuti umum di Indonesia – negara majoriti Muslim terbesar di dunia – tetapi Jokowi juga memakai pakaian tradisi Cina untuk sambutan Tahun Baru Cina di Indonesia.
Sekiranya Perdana Menteri Malaysia memakai pakaian tradisi Cina untuk sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia, adakah dia akan dituduh sebagai mengkhianati orang Melayu demi kepentingan orang Cina di Malaysia atau adakah dia akan dipuji kerana menunjukkan cara untuk para pemimpin dunia mempromosikan dialog, persefahaman, dan keharmonian antara tamadun?
Dalam perutusan Tahun Baru Cinanya, Jokowi mengatakan:
“Masa sudah berubah, tahun-tahun sudah berlalu, dan cabaran baharu telah muncul, tetapi satu perkara yang perlu kekal adalah harapan supaya hari esok akan menjadi lebih gembira, lebih makmur dan lebih maju. Gong xi fa cai.”
Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qoumas, mengatakan yang Tahun Baru Cina perlu menjadi pencetus untuk muhasabah diri untuk menilai semula masa lepas dan menambah baik diri sendiri.
“Marilah kita jadikan Tahun Baru Cina sebagai titik untuk kita muhasabah diri, membetulkan kesilapan lampau, dan merancang untuk tahun-tahun yang akan datang.”
Yaqut menekankan yang Confucius pernah mengatakan yang sekiranya manusia boleh memperbaharui diri mereka, mereka perlu pastikan pembaharuan ini berterusan.
Dia juga menzahirkan harapan supaya keharmonian dapat direalisasikan untuk mencapai cita-cita sebuah Indonesia yang lebih cemerlang.
Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Indonesia, Abdul Halim Iskandar, dan Menteri Sumber Manusia, Ida Fauziyah, juga telah menyampaikan ucapan mereka, dengan Ida Fauziyah mengatakan “Selamat Tahun Baru Cina, Gong xi fa cai, semoga kemakmuran dan kegembiraan melimpahi kita semua pada tahun ini.”
Adakah Malaysia dapat mempelajari apa-apa dari Indonesia mengenai usaha untuk mempromosikan persefahaman dan keharmonian antara tamadun?
Seperti yang saya katakan semalam: “Tidak ada sesiapa yang mahu orang Melayu menjadi Cina, Cina menjadi India, India menjadi Dayak, atau Dayak menjadi Kadazan. Sama juga, tidak ada sesiapa pun yang mahu orang Islam menjadi Buddha, Buddha menjadi Hindu, atau Hindu menjadi Kristian. Perkara ini bukanlah “Perpaduan dalam Kepelbagaian”!
“Malaysia berada di titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat – dan rakyat Malaysia, tanpa mengira etnik, bahasa, agama, atau budaya, perlulah menggunakan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun hebat ini untuk membina semula sebuah Malaysia hebat yang bertaraf dunia.”
Bolehkah Malaysia menjadi penggerak usaha mempromosikan dialog, persefahaman, dan keharmonian dalam arena global dan bukannya mencetuskan pertembungan di antara budaya?
LIM KIT SIANG ialah ahli politik veteran DAP.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.