Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya akan mengadakan solat sunat hajat esok, bagi memohon doa kesejahteraan susulan bencana gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata ia akan dilaksanakan selepas solat Maghrib dan seluruh masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut diminta melaksanakan ibadah sama.

“Menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk tujuan mendoakan kesejahteraan buat negara Turkiye dan Syria.

“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan operasi menyelamatkan mangsa. Marilah kita berdoa agar kesemua mangsa bersama ahli keluarga diberikan kesabaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin, dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di Daerah Pazarcik.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye itu telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria, dan setakat ini Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam bencana itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS