mk-logo
Berita
Azam terbuka syor parlimen lantik KP, pegawai kanan SPRM
Diterbitkan:  Feb 5, 2023 5:31 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Lebih empat bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan campur tangan politik sekiranya suruhanjaya antirasuah itu diletakkan di bawah parlimen.

Bagaimanapun, Azam hari ini berkata dia masih "terbuka" dengan cadangan supaya Dewan Rakyat bertanggungjawab membuat pelantikan jawatan penting SPRM.

"Terpulang kepada reformasi yang dilakukan kerajaan. Namun, setakat ini, SPRM masih tidak mengetahui terma dan mekanisme yang akan dilakukan.

"Kita sentiasa terbuka dan tiada sebarang isu. Kita juga bersedia memberi pandangan," katanya seperti dipetik oleh BH Online.

Dia menjawab temu bual berasingan oleh BH Online mengenai Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul - yang menyokong gesaan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dibentuk dan bertanggungjawab bagi pelantikan pegawai kanan agensi seperti SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Azam telah menyatakan keterbukaan yang sama terhadap reformasi parlimen berkaitan SPRM pada akhir September tahun lalu.

Bagaimanapun, dia telah memberi amaran bahawa meletakkan SPRM secara keseluruhan di bawah parlimen akan mendedahkan suruhanjaya itu terhadap campur tangan politik.

"Kalau SPRM berada di bawah Parlimen saya menjangkakan akan berlaku kemungkinan terpaksa mengikut arahan prosedur tertentu yang ditetapkan oleh orang politik sedangkan ada pihak (menyatakan) kita perlulah bebas daripada tekanan politik," kata Azam pada ketika itu.

Dia juga menyoal sama ada pengaturan sedemikian akan memperuntukkan SPRM perlu mendapatkan kelulusan parlimen atau tidak sebelum menyiasat tokoh berprofil tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS