Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beri peluang Nurul Izzah buktikan kemampuan - Rais
Diterbitkan:  Feb 5, 2023 12:44 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Pengkritik harus memberi peluang kepada Nurul Izzah Anwar untuk membuktikan kemampuannya selepas dilantik bapanya Anwar Ibrahim sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri, kata seorang ketua badan pemikir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research Rais Hussin berkata Anwar perlu diberi ruang untuk menggunakan semua sumber yang ada untuk membantu pentadbirannya.

Rais yang juga ahli PKR mengenal pasti tujuh bidang dasar yang menurutnya perlu ditangani Anwar mengikut keutamaan, bermula dengan menggalakkan perpaduan sosial merentas masyarakat, fahaman dan kelas.

"Saya menggelarnya sebagai perintah dalam dasar. Pentadbiran - dan ketuanya - perlu mentakrifkan hierarki tugas di hadapan untuk menghadapi pelbagai cabaran pada masa ini.

"Sejauh mana jurulatih terkemuka di negara ini wajar mengikut budi bicaranya untuk memilih pasukan. Jika niatnya adalah untuk meningkatkan kepentingan negara lebih daripada kerjaya anak perempuannya, maka saya akan mengalu-alukan satu permainan untuk merebut trofi.

"Mana-mana alat berkesan yang boleh memenuhi tujuannya dalam permainan berguna ke arah pencapaian agenda ini mesti digunakan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata Rais, biarlah merit Nurul Izzah dilihat melalui keberkesanan dan bukan menyingkirkannya semata-mata kerana prejudis.

"Lagipun, ‘permainan’ sedang berjalan, dan setiap peserta yang sihat dialu-alukan untuk menyertai pasukan Malaysia," ujarnya.

Rais menyorot bagaimana pendahulu Anwar - bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob - tidak mentadbir sehingga habis penggal dengan mendakwa bahawa para pemimpin itu akan mengambil langkah yang sama untuk mengukuhkan kedudukan sendiri jika sempat berbuat demikian.

Terdahulu, kerajaan perpaduan dikritik hebat berikutan dakwaan nepotisme berhubung pelantikan Nurul Izzah.

Dakwaan nepotisme itu dihangatkan lagi dengan dakwaan pelantikan Mohammed Iqbal Johari sebagai pegawai khas kepada bapanya, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Johari kemudian menjelaskan tiada sebarang pelantikan jawatan kerajaan dibuat ke atas anaknya, sekali gus menafikan dia mengamalkan nepotisme.

Johari berkata anak lelakinya yang dipertikaikan itu sudah bekerja untuk dia sejak 14 tahun lalu iaitu sewaktu dia menjadi ahli parlimen Sungai Petani.

Sementara Anwar mempertahankan kelayakan anak perempuannya sebagai penasihat mengenai ekonomi dan kewangan, dengan mengatakan bahawa Nurul Izzah mempunyai ijazah kedua dalam dasar awam dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies.

Anwar juga menegaskan bahawa Nurul Izzah tidak dibayar gaji.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS