Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: Lantikan ahli keluarga perlu dielak
Diterbitkan:  Feb 5, 2023 9:59 AM
Dikemaskini: 1:59 AM

Budaya nepotisme dengan melantik ahli keluarga ke jawatan tertentu dalam kerajaan perlu dielak pada masa akan datang, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Timbalan presiden PKR itu dia menyedari pelbagai kritikan berhubung pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Mohammed Iqbal sebagai pegawai majlis khas kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

"Saya berpandangan beberapa perkara ini perlu dielakkan oleh mana-mana kerajaan pada masa akan datang. Bagaimanapun bagi kes Nurul Izzah dan Iqbal, pelantikan sudah pun dibuat," katanya dipetik Harian Metro, hari ini.

Kini katanya pelantikan itu diharap dapat dibuktikan dengan membawa nilai tambah.

"Ia tidak melibatkan dana awam. Apa yang kita harapkan sekarang ialah mereka perlu buktikan mereka akan membawa nilai tambah. Saya yakin mereka ada peranan masing-masing," kata Rafizi.

Terdahulu kerajaan diterajui Anwar itu dikritik hebat selepas Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.

Ia disusuli isu pelantikan Mohammed Iqbal sekali gus dilihat menebalkan lagi persepsi nepotisme terhadap kerajaan.

Sementara itu, Rafizi berkata pihak yang terbabit dalam membuat keputusan sedemikian wajar mengambil perhatian terhadap pandangan rakyat.

"Di peringkat PKR, kita harap kita 'move on' dan cabaran itu ada pada Nurul Izzah dan Iqbal untuk membuktikan mereka ada nilai tambah dalam keadaan mereka tidak mengambil sebarang wang rakyat. Sudah pasti saya faham sentimen itu," katanya dipetik sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS