Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) diarah mengambil langkah segera bagi menangani masalah kekurangan bekalan sayur di pasaran ketika ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kerajaan akan mewujudkan sistem data raya untuk mendapatkan maklumat dalam masa sebenar mengenai bekalan sayur-sayuran di negara ini.
Sistem berkenaan, menurut Mohamad bertujuan memantau jenis sayuran yang sedang ditanam, jumlah pengeluaran, lokasi pengeluaran, jumlah import dan eksport, jumlah permintaan dan kos pengeluaran
"Saya bukanlah mahir dalam bidang IT tetapi jika saya boleh melihat ‘dashboard’ sistem itu melalui telefon pintar sahaja, bila-bila masa kita boleh membuat persiapan awal.
"Misalnya jika kita dah boleh unjur tiga bulan lagi bekalan timun akan berkurangan, maka kita dah boleh minta agensi untuk giatkan tanaman sayuran jenis itu mulai minggu ini.
"Saya yakin ramai anak muda di luar sana mampu menghasilkan sistem ini.
“Saya rasa kementerian tidak ada halangan untuk memberikan dana yang sewajarnya untuk mereka membangunkan sistem ini demi kebaikan semua," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Harga sayur-sayuran dilaporkan melonjak sehingga 160 peratus sejak satu bulan lalu.