Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu seluar pendek: Mungkin salah faham antara orang awam, polis - IGP

Insiden seorang wanita dilarang memasuki ibu pejabat polis daerah Kajang ketika membuat laporan polis, berpunca daripada "salah faham" mengenai pakaian yang dipakainya, kata Ketua Polis Negara, Acryl Sani.

Bercakap pada sidang akhbar hari ini, Acryl berkata pengadu memakai seluar pendek dengan menampakkan pahanya sekali gus menyebabkan anggota polis yang bertugas memintanya menukar pakaian yang lebih sopan.

“Mungkin berlaku salah faham antara orang awam dan anggota yang bertugas,” katanya ketika menghadiri program mendaki Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama masyarakat di Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

Acryl turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prinsip kelima Rukun Negara - kesopanan dan kesusilaan - ketika mengunjungi pejabat kerajaan.

Acryl berkata Ketua Setiausaha Negara telah memberi arahan pakaian yang sepatutnya dipakai orang awam ketika datang ke pejabat kerajaan

"Ketua jabatan atau agensi masing-masing akan dengan budi bicara tentukan bentuk tatacara yang akan dibenarkan.

"Nak tunjukkan bahawa pejabat kerajaan ini adalah tempat orang berurusan dalam keadaan yang tertib dan bersopan dan pertahankan kesusilaan," katanya.

Bagaimanapun, Acryl berkata dalam kes kecemasan, kelonggaran boleh diberikan tetapi hanya terhad kepada situasi "hidup dan mati".

Isu itu timbul selepas seorang wanita yang ingin membuat laporan polis dilarang memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kerana memakai seluar pendek.

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata anggota polis menasihatkan wanita itu supaya menukar pakaian mengikut "etika berpakaian untuk berurusan di premis kerajaan".

Wanita itu memberitahu FMT bahawa dia memakai "Bermuda yang menutupi lutut", yang bercanggah dengan kenyataan Zaid bahawa dia memakai seluar pendek di paras peha.

Menurut wanita itu, dia mengalami kemalangan dengan sebuah lori berhampiran rumahnya di Batu Sembilan, Cheras dan telah datang ke balai polis Batu Sembilan untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, dia dinasihatkan supaya membuat laporan ke IPD Kajang.

Katanya, dia tidak dihalang memasuki Balai Polis Batu Sembilan walaupun memakai pakaian yang sama.

Jualan mercun, bunga api

Sementara itu, berhubung keputusan kabinet menghalalkan penjualan bunga api dan mercun di negara ini, Acryl berkata dia sedang menunggu dasar KDN berhubung perkara itu.

“Saya baru tahu perkara ini dan saya tunggu apa dasar daripada KDN berhubung pelaksanaan perkara ini.

“Pada masa ini, saya tak komen pasal ini,” katanya kepada pihak media.

Semalam, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata langkah itu dibuat bagi menghentikan penjualan mercun secara haram.

Katanya, garis panduan itu akan ditentukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) manakala isu membabitkan duti akan ditetapkan Kementerian Kewangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS