Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Projek pelabuhan laut dalam Melaka masih di peringkat cadangan'

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata isu lesen pelabuhan tidak berbangkit pada masa ini untuk cadangan projek bandar pelabuhan laut dalam di Melaka.

Ini kerana projek itu masih di peringkat cadangan dan semua kajian yang relevan perlu dilakukan sebelum lesen boleh dikeluarkan, katanya.

"Isu lesen operasi belum timbul buat masa ini kerana projek ini masih di peringkat cadangan.

"Memandangkan tiada penambakan (untuk projek bermula), tidak timbul persoalan sama ada kita sudah beri lesen atau tidak," katanya ketika sidang di Putrajaya hari ini.

Dia menjawab soalan berkenaan status permohonan lesen pelabuhan bagi cadangan projek pelabuhan laut dalam di pesisir Melaka Tengah.

Loke menegaskan mana-mana cadangan projek tertakluk kepada kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) terlebih dahulu sebelum pemberian lesen dipertimbangkan.

Pada 1 Februari lalu, Malaysiakini melaporkan Far East (Melaka) Sdn Bhd menghantar laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) pada 21 Disember 2022, berkenaan cadangan pembinaan sebuah pelabuhan dan terminal kapal persiaran seluas 1,190 ekar (bersamaan 899 padang bola sepak) di daerah Melaka Tengah.

Pelan tersebut terbahagi kepada dua bahagian - pertama untuk membina "pelabuhan laut dalam pelbagai guna antarabangsa" dekat Alai. Cetak biru laporan EIA menunjukkan sebuah terminal gas dan cecair, jeti kargo dan dermaga kontena akan dibina di pelabuhan tersebut.

Bahagian kedua adalah untuk membina terminal kapal persiaran antarabangsa seluas 50 ekar (bersamaan 37 padang bola sepak) dekat Pulau Melaka.

Laporan EIA antara lain menyatakan jika projek itu dijalankan, ia akan mengganggu ekologi marin, menjejaskan tangkapan ikan dengan teruk serta memberi kesan kepada industri perikanan Melaka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS