Meskipun Menu Rahmah belum diperluaskan ke Sabah, seorang pengusaha restoran di Plaza Tanjung Aru, di Kota Kinabalu mengambil inisiatif menawarkan hidangan tersebut kepada pelanggannya bermula hari ini.
Musli Oli yang mengusahakan Restoran Pak Mus, berkata menu berkenaan ditawarkan bermula pukul 10.30 pagi hingga 2.30 petang.
"Insya-Allah, restoran saya akan menyajikan Menu Rahmah setiap hari kepada semua pelanggan yang datang ke sini," katanya kepada Bernama di Kota Kinabalu hari ini.
Beliau berkata menu berkhasiat dan seimbang yang ditawarkan kepada pelanggan pada harga RM5 ialah nasi, ayam atau ikan, sayur dan air sirap.
Menurutnya inisiatif itu adalah bagi menyahut seruan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya di negeri ini.
Semalam, Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Junz Wong memuji inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan Persekutuan dan menggesa kerajaan negeri yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya memperluas inisiatif itu ke Sabah.
Selasa lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makan tengah hari atau makan malam berharga RM5 sepinggan di 15,000 premis menjual makanan di seluruh negara.
Sementara itu, seorang pelanggan, Ramli Halim, 50, berkata inisiatif hidangan Menu Rahmah itu bukan sahaja membantu golongan sasar tetapi juga kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata purata perbelanjaan untuk makan sehari kini sekitar RM50 seorang dan jumlah itu agak besar bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.
"Jadi, Menu Rahmah ini memang bagus kerana bukan sahaja membantu golongan miskin tetapi semua pekerja yang sudah tentu mahu harga murah dan menjimatkan," katanya yang bekerja sendiri.
Penjawat awam, Santy Ahmad, 42, pula berharap restoran lain di setiap daerah di negeri ini akan turut menyediakan Menu Rahmah agar usaha kerajaan itu dapat dinikmati setiap lapisan masyarakat.
- Bernama