Cadangan pindaan kepada Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] dijangka akan dibentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Dalam satu kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata pembaharuan itu dicadangkan oleh Jabatan Insolvensi.
Antara lain, jabatan itu mencadangkan pindaan kepada undang-undang yang akan memudahkan individu yang layak untuk dilepaskan daripada status muflis mereka.
Terdapat juga cadangan supaya mereka yang berumur 70 tahun ke atas atau mereka yang menghidap penyakit mental dibebaskan daripada status muflis.
Cadangan lain adalah menyelaras nilai harta bankrap termasuk peralatan kerja yang boleh dikecualikan untuk dibahagikan kepada pemiutang di bawah seksyen 48(1)(a)(ii) Akta 360 dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup semasa.
“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan sebarang maklum balas dan cadangan yang konstruktif daripada semua pihak mengenai isu kebankrapan.
“Oleh itu, sesi libat urus bersama pemegang taruh untuk membincangkan hal berkaitan cadangan pindaan yang sedang dipertimbangkan akan diadakan pada 7 Februari 2023 (sebelum perbincangan kabinet),” katanya.
Azalina berkata demikian sebagai mengulas laporan NST dan Berita Harian yang mengketengahkan nasib yang menimpa Hairul Nizam Hashim.
Hairul diisytiharkan muflis pada 2013 tetapi kini berjaya mengatasi masalah kewangannya.
Namun, dia masih bergelut dengan proses untuk dibebaskan daripada satus muflisnya.