Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaliha catat sejarah buat negara di WHO
Diterbitkan:  Feb 3, 2023 11:49 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Dr Zaliha Mustafa menjadi menteri kesihatan Malaysia pertama diberi peluang mempengerusikan sesi ke-152 mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata penghormatan itu adalah kali pertama berlaku dalam sejarah kesihatan negara, dan sepanjang 10 tahun penglibatannya bersama WHO

Dr Zaliha diberi peluang itu oleh WHO selepas dia dilantik menjadi naib pengerusi Lembaga Eksekutif WHO mewakili wilayah Pasifik Barat (WPR) untuk sesi 2023-2024.

Menurut kenyataan pejabat menteri kesihatan, ia merupakan pencapaian penting bagi Zaliha dalam lawatan rasmi pertamanya ke negara luar sejak dilantik ke jawatan itu.

Zaliha turut diiringi Noor Hisham Abdullah dan pegawai kementerian.

"Ia adalah kali pertama dalam sejarah Menteri Kesihatan kita, Dr Zaliha Mustafa, mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO ke-152 mengenai pembasmian polio, perancangan peralihan polio, dan pasca pensijilan polio," ciap Noor Hisham pada semalam.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sekijang itu bercakap mengenai langkah Malaysia untuk maju ke arah perlindungan kesihatan sejagat dengan beberapa bidang keutamaan, termasuk saringan kesihatan yang disasarkan untuk golongan berpendapatan rendah agar ia dapat diakses.

"Program-program ini adalah satu usaha untuk mengurangkan perbelanjaan di luar kemampuan dalam kalangan 40 peratus penduduk terbawah untuk mendapat akses perkhidmatan pemeriksaan kesihatan di sektor swasta," katanya.

Zaliha menambah Malaysia juga merancang untuk menambah baik pengurusan penjagaan kesihatan dengan melaksanakan pangkalan data pesakit yang lebih baik.

"Kami menyasarkan untuk mengurangkan kesesakan klinik awam bagi membolehkan pengurusan penyakit kronik awal dan meningkatkan kecekapan merentas sektor dengan meminimumkan pertindihan pemeriksaan melalui sistem IT berasaskan web yang diuruskan secara berpusat," tambahnya semasa berucap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS