Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'SPRM juga patut siasat sewa helikopter diguna Anwar ketika PRU'
Diterbitkan:  Feb 3, 2023 11:39 AM
Dikemaskini: 7:36 AM

Bekas pembantu kepada perdana menteri sebelum ini, Muhyiddin Yassin menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perbelanjaan pilihan raya PKR dan DAP yang didakwa melibatkan jumlah yang besar.

Marzuki Mohamad berkata, SPRM wajar menyiasat dari mana kedua-dua parti itu mendapat sumber dana untuk membiayai PRU15.

"Jika diperhatikan kedua-dua parti ini berbelanja besar.

"Lihat sahaja jumlah bendera, poster, pentas ceramah, lori bergerak, sistem audio, iklan, billboard besar dan kecil, kempen di media sosial dan lain-lain.

"Ini tidak termasuk bayaran sewa jet dan helikopter untuk kegunaan Datuk Seri Anwar sendiri ketika berkempen.

“Juga kos-kos lain yang melibatkan kerja-kerja jentera parti," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya, berdasarkan pengamatan kasar, jumlah pembiayaan kempen pilihan raya PKR dan DAP mencecah ratusan juta ringgit.

"Dari mana sumber ini diperolehi?

"PKR dan DAP adalah kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Adakah PKR dan DAP tidak menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana ahli perniagaan atau tauke-tauke yang berurusan dengan ketiga-tiga kerajaan negeri ini? Saya tanya saja bukan tuduh," tulis Marzuki.

Marzuki berkata demikian bagi mengulas siasatan SPRM berhubung dana Bersatu, yang mengakibatkan akaun bank parti itu dibekukan.

SPRM belum mendedahkan secara rasmi sebab di sebalik siasatan itu.

Bagaimanapun, sumber yang arif mengenai siasatan itu memberitahu Malaysiakini bahawa ia dikaitkan dengan sumbangan kewangan daripada 10 kontraktor kepada Bersatu.

Pada 31 Jan lalu, Bersatu menerbitkan akaun parti itu yang telah diaudit bagi tahun 2021 yang menunjukkan pendapatan RM147,994,104 pada tahun itu.

Daripada jumlah itu, 99.8 peratus daripada hasil itu diperoleh daripada "penajaan dan sumbangan".

Marzuki berkata adalah tidak adil untuk SPRM hanya menyiasat Bersatu sedangkan PKR dan DAP juga berbelanja besar dalam pilihan raya.

"Saya percaya YAB Perdana Menteri seorang yang adil dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip keadilan. Jadi biarlah adil dalam bertindak," kata Marzuki.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS