Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Nazmi: Kementerian teliti dakwaan perlombongan pasir haram di Perak
Diterbitkan:  Feb 3, 2023 10:30 AM
Dikemaskini: 2:30 AM

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad memberi jaminan kementerian itu akan meneliti dakwaan aktiviti perlombongan pasir haram di Pantai Pasir Panjang di Segari, dekat Manjung, Perak.

Nik Nazmi berkata demikian dalam tweet ringkas semalam dalam jawapannya kepada kumpulan aktivis Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), yang mendakwa kegiatan melombong pasir dilakukan tanpa permit di pantai pendaratan penyu yang terletak di muara Sungai Puyu.

“Kami semak segera. Terima kasih atas makluman @nreccmalaysia,” ciap Nik Nazmi di Twitter.

Kuasa berkata penduduk kampung dan aktivis "diserang oleh sekumpulan samseng" yang diupah oleh sebuah syarikat yang didakwa menjalankan aktiviti mengorek pasir secara haram di pantai itu.

Semalam, Malaysiakini melaporkan pertengkaran tercetus di tapak itu apabila penduduk kampung dan aktivis alam sekitar, yang mengadakan sidang media mengenai perlombongan pasir haram dihalang meninggalkan tempat itu.

Kekecohan itu berlaku kira-kira tengah hari semalam, apabila wakil daripada Maegma Minerals Sdn Bhd, yang memiliki tanah terbabit, menghalang sekumpulan kira-kira 20 orang daripada meninggalkan tapak pendaratan penyu itu.

Adun Pantai Remis Wong May Ing dan aktivis dari Kuasa serta Persatuan Penggiat Alam Segari antara yang dihalang keluar.

Pegawai lapangan kajian lapangan Sahabat Alam Malaysia Meor Razak Meor Abdul Rahman memberitahu Malaysiakini bahawa wakil Maegma Minerals mendakwa mereka yang mengadakan sidang media itu menceroboh kawasan tersebut.

"Sebahagian daripada kami, termasuk Wong, pergi ke lokasi menerusi laut, sementara penduduk kampung yang lain melalui jalan darat.

"Kami buat sidang media untuk menggesa pihak berkuasa menghentikan kegiatan melombong pasir haram kerana ia memusnahkan tapak pendaratan penyu.

"Mereka menghalang peserta sidang media beredar dengan menutup jalan dengan jentolak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

'Tiada tangkapan dibuat'

Difahamkan, polis dan pegawai Cawangan Khas turut hadir di tempat kejadian.

Menjawab soalan ringkas daripada Malaysiakini, Ketua Polis Perak Hassan Basri mengesahkan kejadian itu dan berkata tiada tangkapan dibuat selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan isu itu secara baik.

Kejadian itu berakhir kira-kira jam 4 petang.

Malaysiakini juga difahamkan Jabatan Tanah dan Galian Perak mengesahkan bahawa Maegma Minerals tidak diberi kelulusan untuk mengeluarkan pasir dari pantai berkenaan.

Berdasarkan Rancangan Fizikal Negara, katanya, tapak pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang, yang sebelumnya di bawah kategori ESA Rank 1 (Environmentally Sensitive Areas), kini di bawah kategori ESA Rank 2 tetapi ia tetap tidak sesuai untuk sebarang kegiatan industri atau perlombongan pasir.

Pada 11 Jan lepas, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dilaporkan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melombong dan mengambil pasir dari pantai Pasir Panjang tanpa kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Bagaimanapun, Saarani dipetik oleh The Malay Mail sebagai berkata setakat ini, tiada kerja membawa keluar pasir yang dikesan dilakukan di kawasan berkenaan.

Tambahnya, tanah itu adalah milik persendirian, dan kerajaan negeri tidak berhak menghalang pemiliknya daripada menjalankan aktiviti di atas tanah terbabit, kecuali mengambil pasir tanpa lesen.

Pada 8 Jan, Maegma Minerals dilaporkan berkata syarikat itu mematuhi semua peraturan yang ditetapkan untuk menjalankan kerja-kerja di kawasan tersebut.

Dalam satu kenyataan, ia menjelaskan bahawa kerja-kerja yang sedang dijalankan pada masa ini telah diluluskan oleh pihak berkuasa berkaitan dan syarikat itu memberikan kerjasama dengan agensi terbabit.

Maegma Minerals berhasrat membangunkan kilang keluli di kawasan itu, dengan mengatakan bahawa ia boleh menyumbang kepada ekonomi negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS