Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imigresen jumpa 'sekolah' ketika serbu petempatan warga asing

Serbuan yang diketuai Jabatan Imigresen di sebuah petempatan warga asing di Nilai Spring, Negeri Sembilan dua hari lalu menyaksikan penangkapan dan penahanan 67 warga asing tanpa dokumen, termasuk seorang berusia 72 tahun dan bayi berusia dua bulan.

Antara agensi lain yang turut serta dalam serbuan itu adalah Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam.

Malaysiakini difahamkan antara yang turut ditahan adalah kanak-kanak yang sedang melalui persediaan untuk integrasi dengan sistem persekolahan Indonesia sebaik mereka pulang ke negara mereka.

NGO berpangkalan di Jakarta, Migrant Care berkata kanak-kanak dari Nusa Tenggara Timur menjalani pembelajaran di sebuah tempat sementara.

Mereka mula belajar di situ pada April tahun lalu dengan sukatan pelajaran disediakan kerajaan Indonesia.

Beberapa sumber memberitahu Malaysiakini berkata warga asing tersebut memiliki pas lawatan sementara - dan bukannya pasport - yang dikeluarkan pihak Indonesia di sini yang sah selama setahun, namun penerbangan pulang mereka tertangguh kerana mereka tiada wang untuk membeli tiket penerbangan, ekoran kehilangan kerja ketika penularan wabak Covid-19.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Kennith Tan, semua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng sementara disiasat di bawah undang-undang imigresen kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa permit sah.

Tan berkata, kesemua yang ditahan adalah warga Indonesia, merangkumi 11 lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan. Pihak berkuasa turut menemui senjata tajam seperti lembing dan parang.

Hasil risikan dijalankan selama sebulan. Petempatan ini telah menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut silibus pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit genset sebagai punca kuasa elektrik," katanya dalam kenyataan.

Katanya, ada yang bertindak agresif untuk mengelak daripada ditangkap namun ia berjaya dipatahkan pihak berkuasa.

"Petempatan ini berada di kawasan permukaan bumi yang tidak rata dan berpaya serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar yang mendatangkan risiko kecederaan yang tinggi kepada semua pegawai yang terlibat.

"Jabatan Imigresen Negeri Sembilan juga sedang mengenal pasti sama ada petempatan ini didirikan atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram," katanya lagi.

Sumber dari Jabatan Imigresen juga mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyemak kesahan pas sementara warga asing terlibat.

Ketika dihubungi, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata pihak kedutaan diberi akses konsular untuk bertemu dengan tahanan pada 7 Februari dan akan memudahkan proses penghantaran pulang mereka.

Hermono berkata keutamaan diberikan untuk memastikan perlindungan hak kepada kanak-kanak selaras dengan konvensyen antarabangsa yang dimeterai Indonesia dan Malaysia, termasuk dalam kes tangkapan dan tahanan.

"Kami bimbang operasi ini boleh menjadi pengalaman traumatik kepada kanak-kanak," katanya.

Berkenaan pusat pembelajaran sementara, dia berkata bantuan sukatan pelajaran diberikan agar kanak-kanak tersebut boleh menyambung pendidikan apabila pulang ke Indonesia.

Perbincangan berkenaan tangkapan tersebut juga sedang berjalan antara kedua-dua kerajaan bagi mencapai penyelesaian yang saksama, katanya lagi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun terkejut apabila dimaklumkan berkenaan petempatan haram itu dan menyifatkannya sebagai perkara serius yang tidak sepatutnya berlaku.

Menurut Harian Metro semalam, Aminuddin mempersoalkan mengapa petempatan itu boleh wujud sekian lama tanpa dikesan.

"Kerajaan negeri memandang serius perkara ini. Tindakan segera perlu diambil oleh pelbagai pihak bagi memastikan tidak ada lagi petempatan seumpama ini.

"Apabila siap dengan sekolah dan ada anak-anak kecil, bermakna petempatan itu mungkin sudah lama wujud. Kita tidak mahu ada lagi perkampungan warga asing seperti ini kerana susah untuk kita bertindak atau pindahkan mereka jika dibiarkan," katanya seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS