Perdana menteri hari ini berkongsi logo Malaysia Madani, konsep diperkenalkannya sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Berdasarkan infografik dimuat naik di laman Facebook dan Twitter Anwar Ibrahim, logo itu mempunyai reka bentuk seakan tapak tangan dan diasaskan dengan empat warna Jalur Gemilang.
Lima jari dengan jalur merah putih yang ditonjolkan dalam logo itu merupakan simbolisme kepada Rukun Negara yang menjadi asas ideologi Malaysia, manakala bulatan 'tapak tangan' berwarna biru menandakan kebulatan, muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selain itu, bulan sabit sebagai simbol Islam menjadi agama Persekutuan turut dijadikan salah satu elemen logo itu, selain bintang berbucu 14 yang melambangkan perpaduan dalam kalangan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.
Empat warna yang digunakan untuk logo berkenaan iaitu biru yang melambangkan kesatuan nasional, keterangkuman dan persaudaraan; merah (keberanian, jati diri dan keazaman); kuning (nilai tradisi, kebudayaan dan kearifan tempatan); selain putih (keluhuran budi, kesucian hati dan hasrat murni).
Anwar dalam hantaran sama di Facebook berkata Malaysia Madani diusulkannya sebagai jalan ke depan untuk negara serta masyarakatnya yang rencam kaum dan budaya.
“Kita pastinya berusaha agar nilai-nilai ini digerak serta dilaksana sebaiknya,” katanya.
Konsep berkenaan yang diperkenalkannya secara rasmi pada 19 Jan lepas diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
- Bernama