Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa kerajaan menggunakan SPRM sebagai alat politik untuk menentang Bersatu.
Bercakap pada sidang media hari ini, Anwar menegaskan badan anti rasuah itu bebas menjalankan tugas mereka.
"Adalah tak bertangungjawab bagi tokoh-tokoh parti politik pembangkang yang dalam proses siasatan (SPRM) membuat tohmahan campur tangan dari pihak kerajaan perpaduan," katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin mengecam kerajaan kerana didakwa menggunakan agensi kerajaan sebagai alat untuk “membunuh” kredibiliti parti itu serta PN.
Ini berlaku selepas akaun bank Bersatu dibekukan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Selasa mengesahkan perkara itu, dua hari selepas Bersatu mengisytiharkan penyata akaun bagi tahun 2020 dan 2021, dalam usaha menafikan dakwaan rasuah melibatkan parti itu.
Sementara itu, Anwar berkata terdapat dua faktor yang menyebabkan SPRM menyiasat Bersatu.
Pertama, katanya, laporan dibuat kepada polis dan SPRM mengenai penggunaan dana Bersatu.
Kedua, katanya, semasa menjalankan tugas sebagai menteri kewangan, dia mendapati ada projek yang melibatkan perbelanjaan tinggi dijalankan tanpa proses tender.
"Dalam projek terutamanya Jana Wibawa (Semasa PKP) dan tebatan banjir kita dapati kos itu terlalu tinggi.
"Jadi saya dedahkan maklumat dari menteri kewangan. (Tindakan) pihak SPRM itu tidak tertakluk kepada pandangan saya," kata Anwar.
Anwar menambah siasatan SPRM mendapati Bersatu mempunyai lebih RM300 juta dalam akaunnya.
Tambahnya, jika pemimpin Bersatu bersih seperti yang didakwa, parti itu sepatutnya boleh menjelaskan kepada pegawai penyiasat SPRM bagaimana parti itu boleh mengumpul sejumlah besar wang dalam akaun mereka dalam tempoh singkat.
Anwar sepanjang sidang media itu menegaskan pentadbirannya sekarang tidak terlibat dalam operasi SPRM.
Bagaimanapun, dia menyeru agar badan pencegah rasuah itu lebih proaktif dan cekap.