Susulan pembekuan akaun bank Bersatu, setiausaha agungnya Hamzah Zainudin mengecam kerajaan yang menurutnya menggunakan agensi kerajaan sebagai alat untuk "membunuh" kredibiliti Bersatu serta Perikatan Nasional (PN)
Hamzah, dalam satu kenyataan hari ini berkata rakyat sedar tentang "strategi jelek" pentadbiran semasa untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan dan nepotisme.
“Bersatu dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM itu adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan kepada Bersatu.
"Bersatu akan terus memberi kerjasama dalam siasatan ini agar fitnah jahat ke atas Bersatu dapat dihentikan segera," katanya sambil menambah pemimpin dan pegawai parti diminta memberikan kerjasama penuh.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini mengesahkan bahawa akaun Bersatu telah dibekukan untuk membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Pendedahan itu berlaku hanya sehari selepas Bersatu mengisytiharkan akaun 2020 dan 2021, dalam usaha untuk menentang dakwaan rasuah.
Pada mulanya dipercayai pembekuan itu berkaitan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan berjumlah RM92.5 bilion dana rangsangan pandemik yang didakwa diselewengkan.
Bagaimanapun, sumber SPRM mendakwa pembekuan akaun itu adalah atas dakwaan Bersatu menerima sumbangan daripada kira-kira 10 kontraktor yang menerima pelbagai projek semasa parti itu mentadbir kerajaan.
Menurut sumber itu, jumlah sumbangan disyaki lebih RM300 juta.
Mereka mendakwa baki dalam dua akaun bank Bersatu ketika ini adalah sekitar RM40 juta.
Pada awal Januari, SPRM menahan seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta sebagai suspek dalam siasatannya.
Ketua pegawai eksekutif itu disyaki menjadi orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi antara 2020 dan 2022.
Suspek itu kemudiannya ternyata seorang ketua bahagian Bersatu.
Turut didakwa bahawa RM4.5 bilion daripada jumlah ini telah dimasukkan ke dalam dana PN untuk pilihan raya umum ke-15. Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan itu.