Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesesakan di Penjara Sg Buloh membimbangkan - Ramkarpal
Diterbitkan:  Feb 1, 2023 5:32 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Kompleks penjara terbesar di Malaysia, Penjara Sungai Buloh, kini menempatkan lebih 2,000 banduan daripada kapasiti yang ditetapkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ramkarpal Singh berkata isu kesesakan di penjara itu "sangat membimbangkan" dan menjejaskan keberkesanan program pemulihan.

Penjara Sungai Buloh mempunyai kapasiti untuk menempatkan 2,500 banduan.

“Institusi penjara adalah aspek penting sistem keadilan jenayah.

“Oleh itu, kesesakan penjara sudah tentu akan menjejaskan keberkesanan program pemulihan,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Timbalan menteri itu melawat penjara Sungai Buloh pada Isnin lalu sebagai sebahagian daripada sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dalam reformasi penjara.

Oktober lalu, Jabatan Penjara mengumumkan bahawa ia menyasarkan dua pertiga tahanan layak menjalani pemulihan komuniti menjelang 2030, bagi mengatasi kesesakan penjara.

Kajian jabatan mendapati bagi setiap 400 banduan di penjara, 60 akan menjadi pesalah berulang, manakala hanya satu daripada 400 dalam pemulihan komuniti akan melakukan perkara yang sama.

Langkah itu juga dijangka menjimatkan kerajaan sebanyak RM182 juta dalam kos operasi penjara setahun.

Sasaran itu ditetapkan selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Kehadiran Wajib (Pindaan) Pesalah 2021, Julai lalu, yang membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman pemulihan komuniti kepada pesalah berbanding penjara bagi kesalahan dengan hukuman maksimum penjara tiga tahun.

Langkah itu adalah untuk beralih daripada sistem hukuman kepada sistem keadilan pemulihan, serta mengurangkan kesesakan di penjara dan mencegah penularan penyakit berjangkit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS