Walaupun sudah ada beberapa rancangan pembangunan pelabuhan di selatan semenanjung Malaysia, sebuah syarikat pemaju masih berhasrat membina satu lagi pelabuhan laut dalam di pesisir Melaka.
Far East (Melaka) Sdn Bhd menghantar laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) pada 21 Disember 2022, berkenaan cadangan pembinaan sebuah pelabuhan dan terminal kapal persiaran seluas 1,190 ekar (bersamaan 899 padang bola sepak di daerah Melaka Tengah.
Pelan tersebut terbahagi kepada dua bahagian - pertama untuk membina "pelabuhan laut dalam pelbagai guna antarabangsa" dekat Alai. Cetak biru laporan EIA menunjukkan sebuah terminal gas dan cecair, jeti kargo dan dermaga kontena akan dibina di pelabuhan tersebut.
Bahagian kedua adalah untuk membina terminal kapal persiaran antarabangsa seluas 50 ekar (bersamaan 37 padang bola sepak) dekat Pulau Melaka.
Kedua-duanya sebahagian daripada "Central Eco Business Park" dalam cetak biru Zon Ekonomi Pesisiran Pantai Melaka (M-WEZ).
Penduduk rugi RM144.87 juta
Pasukan EIA dengan pesimis membangkitkan pelan Far East akan merosakkan alam sekitar, habitat haiwan terancam dan industri perikanan - dengan kehidupan dan pendapatan para nelayan akan terjejas secara kekal.
Mereka menjangka untuk menampung kerosakan akibat projek tambak tanah, penduduk tempatan akan menanggung kerugian bernilai RM144.87 juta untuk 50 tahun akan datang.
Isu alam sekitar utama yang dikenal pasti pasukan EIA adalah kehilangan kekal dasar laut berlumpur seluas 1,190 ekar serta kesan sosioekonomi berkaitan pendapatan nelayan, orang tengah dan perniagaan yang berkaitan.
Turut terjejas adalah usaha pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem marin yang akan dilaksanakan, kesan terhadap kegiatan rekreasi dan gangguan alam sekitar yang dihadapi penduduk tempatan.
Laporan EIA turut menyatakan sejumlah penduduk bersikap skeptik terhadap pelan membina terminal kapal persiaran seluas 50 ekar dan bimbang projek itu akan gagal.
"Keadaan sekarang juga ada bangunan komersial (berdekatan) yang tidak beroperasi dengan baik. Dibimbangi keadaan ini juga akan dialami projek terminal yang dicadangkan."
Pemegang saham utama bekas ahli majlis MCA
Menurut data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pemegang saham Far East (Melaka) Sdn Bhd termasuk Tun Perak Holding Pte Ltd (49 peratus), Ling Kah Chok (29.32 peratus) dan Toh Kong Ming (21.68 peratus).
Tun Perak Holding Pte Ltd didaftarkan di Singapura di mana Ling adalah pemegang saham tunggal. Dengan kata lain, Ling mengawal 78.34 peratus pegangan dalam Far East dan menjadi pemegang saham utama syarikat itu.
Ling, 43, dilantik sebagai ahli majlis di Pontian mewakili MCA pada 2009, namun disingkirkan 20 hari selepas itu. Dia kemudian mula lebih giat dalam industri hartanah.
'Menjadikan Melaka kota pelabuhan'
Far East yakin terminal kapal persiaran baru akan menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara ke Melaka, manakala pelabuhan laut dalam akan menjadi pemangkin bagi menjadikan Melaka sebuah kota pelabuhan, seterusnya menambahkan pendapatan negeri.
"Pelabuhan utama seperti Pasir Gudang (Johor Bahru), Pelabuhan Singapura dan Jurong, Pelabuhan Rotterdam (Belanda) dan Pelabuhan Hamburg (Jerman) membuktikan perkara ini, yang diketahui telah meningkatkan...peluang perniagaan dan pekerjaan.
"Mengambil kira perkara ini, Far East, bersama-sama kerajaan Melaka, berhasrat untuk membangunkan sebuah kota pelabuhan yang akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Melaka dalam sektor maritim, penerbangan, logistik dan pembuatan tahap tinggi."
Selain itu, Far East berhasrat membina sebuah institut logistik dan maritim antarabangsa, serta bangunan komersial di pelabuhan dan terminal untuk meningkatkan peluang perniagaan kepada penduduk tempatan.
Pembinaan pelabuhan laut dalam dijangka memakan masa lima tahun.
Projek pelabuhan lain pada masa ini
Namun, sudah ada beberapa rancangan pembinaan pelabuhan di sepanjang Selat Melaka - termasuk Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi di Melaka (dekat sempadan Negeri Sembilan), Terminal Tanjung Beruas di utara Melaka dan Maharani Energy Gateway di Muar, Johor.
Pelabuhan yang sudah ada di selat itu pula termasuk Pelabuhan Klang di Selangor, Pelabuhan Tanjong Pelepas di Pasir Gudang, Johor dan Pengkalan Kontena Butterworth Utara di Pulau Pinang.
Ketika mesyuarat 'Terms of Reference Adequacy Check’ (Torac), NGO alam sekitar Sahabat Alam Sekitar (SAM) meminta syarikat pemaju untuk menjelaskan mengapa satu lagi pelabuhan diperlukan, memandangkan sudah ada banyak pelabuhan sedang dibina di kawasan itu.
SAM juga meminta syarikat untuk menyenaraikan pelabuhan sedia ada di Melaka dan negeri berdekatan, dan melakukan penilaian terperinci sama ada projek yang dicadangkan itu wajar atau tidak.
'Unik berbanding yang lain'
Far East kemudian menjelaskan pelabuhan laut dalam pelbagai guna mereka adalah unik, berbeza dengan rancangan pelabuhan baru di kawasan itu.
"Pelabuhan laut dalam yang dicadangkan ini akan menjadi pelabuhan swasta dengan kemudahan dan terminal khusus untuk memenuhi keperluan spesifik pelanggan, menggunakan konsep built-to-suit.
Jelas bahawa pelabuhan laut dalam ini unik, tidak seperti projek pembangunan pelabuhan baru yang lain di perairan Melaka-Johor seperti Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi dan Maharani Energy Gateway.
"Selain itu, ia juga direka untuk tidak bersaing dengan pelabuhan pemindahan (transshipment) utama di Malaysia seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjong Pelepas," katanya lagi.
Namun, laporan EIA tidak menyatakan keunikan dan pengguna sasaran pelabuhan itu.
Malaysiakini telah menghubungi Far East Melaka untuk mendapatkan butiran lanjut berkenaan pelan tersebut.
Orang ramai boleh membaca dan memberikan maklum balas di laman web Jabatan Alam Sekitar. Mereka boleh berbuat demikian sehingga esok (2 Februari).
Dr Nik and Associates Sdn Bhd merupakan syarikat perunding yang bertanggungjawab menghasilkan laporan EIA projek ini.