ULASAN | Anwar Ibrahim sudah bercakap tentang gagasan Malaysia Madani yang maju roh dan jasadnya, berkembang akhlak dan peribadi rakyatnya.
Supaya tidak tersasar, saya rakamkan dalam tulisan ini supaya dahulukan Kuala Lumpur Madani iaitu sebuah ibu kota yang membangun dengan rupa dan imej peribadi sendiri dan tanpa mencedok identiti lain.
Saya sokong gagasan yang disuarakan oleh perdana menteri jika ia benar-benar dilaksanakan demi pembangunan bangsa Malaysia yang berjiwa serta bermaruah.
Saya harap Malaysia Madani bukan tong kosong seperti slogan lain yang pernah ada. Misalnya Islam Hadhari, 1Malaysia, Malaysia Prihatin dan Keluarga Malaysia yang kini menjadi tinggalan sejarah siasah tempang.
Madani - konsep yang sedang diwacanakan - adalah kemajuan seimbang dalam pelbagai aspek. Kemajuan itu tidak seharusnya sekadar bangunan tinggi dan lebuh raya tiga lorong, juga pembangunan sahsiah. Rakyatnya sihat akhlak dan kukuh ekonomi, juga bijaksana bersama citra kewarasan kelas dunia.
Pembangunan tanpa asas rohani hanya melahirkan masyarakat bobrok yang jumud dari segi sahsiah serta jati diri.
Kita tidak mahu di sebalik deretan bangunan megah, ada gobok miskin berselerak menjadi latar Kuala Lumpur yang akan berusia 49 tahun sebagai Wilayah Persekutuan pada hari ini.
Barangkali kita tidak menduga bahawa bersama pembangunan pesat yang terhasil hampir lima dekad itu, pada sisinya tersemai gejala rasuah, nepotisme dan salah guna kuasa.
Lebih malang pembinaan imej Melayu baru yang terhasil daripada Dasar Ekonomi Baru adalah hanya kekayaan angka, bukan modal insan madani yang sepatutnya.
Skandal mega 1MDB dan beberapa kes membabitkan golongan kayangan adalah bukti nyata Melayu yang dikaitkan dengan Islam adalah perancang serta pelaksana penyelewengan berskala besar.
Budaya, nilai timur terpinggir
Semuanya berpusat di Kuala Lumpur - sebuah kota raya yang sepatutnya menjadi sanjungan bersama.
Kugiran punk rock, The Clash, pernah tampil dengan lagu London Calling, suara menawan Frank Sinatra sentiasa diingati dalam New York, New York, manakala Freddie Mercury masyhur dengan Barcelona yang menjadi lagu tema Sukan Olimpik bandar raya tersebut pada 1992.
Semua lagu berkenaan merakam keagungan dan kehebatan kota raya dunia yang bukan sahaja dihias agam bangunannya, juga kekar budaya, peradaban, serta warisan seni budaya.
Kuala Lumpur juga tidak ketinggalan. Sejak bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 sehinggalah terdirinya menara berkembar tertinggi di dunia sebagai salah satu mercu tanda, banyak lagu yang digubah bertemakan ibu negara Malaysia itu.
Antara paling terkesan ialah Keroncong Kuala Lumpur dendangan P Ramlee (1968) yang diabadikan dalam filem Anak Bapak:
Kuala Lumpur
ibu negara Malaysia
aman serta makmur
setelah merdeka.
Apabila menjadi Wilayah Persekutuan pada 1 Feb 1974, Kuala Lumpur sekadar pesat pembangunan fizikal sambil meminggirkan budaya dan nilai timur.
Hal itu pernah disuarakan oleh M Nasir dalam filem arahan Nasir Jani, Kembara Seniman Jalanan, pada 1986 menerusi lagu Sesat Di Kuala Lumpur:
Sesat di Kuala Lumpur
dosa dan pahala bercampur
tapi kita perlu hidup
kita perlu terus hidup.
Terima kasih tuan dan nyonya
doa sejahtera kami pohonkan
pada Tuhan Maha Kuasa
Tuhan Maha Kuasa.
Mungkin kita kan temui kebahagiaan
di Kuala Lumpur
dan mungkin kita akan kecewa.
Mungkin kita akan jadi kaya
dalam lumpur
mungkin kita akan terpedaya.
Mungkin ada jalan di Kuala Lumpur
jalan bahagia
mungkin kita akan kecewa
mungkin kita akan jadi alpa serta lupa
dan mungkin kita kan terpedaya
mungkin kita akan jadi kaya serta lupa
mungkin kita lupa pada asalnya.
Kuala Lumpur bukan sekadar pusat ekonomi, tapi juga pusat pertarungan di antara manusia yang pelbagai ragam dan kelas sosial. Kuala Lumpur juga menghimpunkan kecerdikan dan kebodohan, kebaikan dan kejahatan.
Watak yang tonjolkan dalam telemovie Pok Ya Cong Codei adalah sebahagian daripada slot tipikal manusia kelas bawahan yang mencuba nasib di kota besar tanpa mengetahui percaturan di luar kawalan mereka.
Sasterawan Negara Keris Mas - menerusi novel besarnya Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur - mengangkat ibu kota sebagai kota pesona yang aneh tindak-tanduk manusianya.
Hari ini kasta yang ditimbulkan oleh elit politik yang bersekutu dengan pemilik modal menjadikan Kuala Lumpur kota raya yang tidak sunyi daripada skandal kewangan yang membabitkan kerugian berbilion ringgit.
Malaysia Madani dan Kuala Lumpur Madani harus memahami permasalahan dalam masyarakat kerana ia sudah membentuk sistem sosial yang tidak sepatutnya.
Kuala Lumpur ialah kota nasib atau daerah petaka bagi yang gagal. Kuala Lumpur kota korporat, milik kapitalis yang menguasai ekonomi dan persekitaran.
Budaya hidup hadir di belakang sosok ekonomi dan taraf hidup.
Bagi warga kota raya berpendapatan bawah RM4,000 sebulan, anda antara warga miskin yang terperangkap dengan kesesakan jalan raya dan peluang mendiami rumah selesa.
Berpakat merancang projek
Gaji RM4,000 terlalu kecil untuk beras dan ikan kering, apatah lagi untuk keperluan kehidupan lain seperti hal-hal kekeluargaan, perbelanjaan anak ke pusat pengajian tinggi dan kos penjagaan anak kecil.
Pada usia 49 tahun, Kuala Lumpur sepatutnya semakin matang, tetapi malangnya apa yang ada di depan kita ialah sebuah bandar raya yang kaya dengan permasalahan tersendiri. Setiap kali hujan lebat ada jalan yang terpaksa ditutup kerana banjir kilat.
Sungai Klang dan Sungai Gombak yang mengalirkan limpahan hujan sebaiknya meledakkan air ke kawasan berdekatan.
Penghuni Kuala Lumpur di beberapa kawasan marhaen sudah bersebati dengan banjir kilat. Saliran longkang tersumbat memberi kesan kepada persekitaran.
Lebih malang otak ‘pintar’ sang penguasa menjadikan kawasan tadahan hujan sebagai lokasi taman perumahan. Tidak ramai yang membantah kerana banjir kilat adalah masalah rakyat bawahan.
Kluster kayangan tidak terkesan oleh masalah harian golongan bawahan kerana mereka berada puncak kuasa. Rakyat resah mencari telur yang 'hilang'. Mereka bersenang-senang menggoyang telur mahal.
Politik dan kapitalisme selalu bersekutu dalam merancang projek pembangunan di mana-mana kota besar seperti Kuala Lumpur. Politik dan kapitalisme tidak pernah memasukkan sifir kesedihan orang bawahan.
Saya terkenang cerpen Malungun berjudul Memburu Tahun Baru yang terhasil pasca-13 Mei 1969. Ia berkisah tentang orang kecil di kota raya yang bertungkus-lumus menyiapkan bangunan menjulang tinggi di Kuala Lumpur walaupun mereka tinggal di lorong-lorong yang sempit.
Mereka tekun berkerja menyiapkan bangunan dan menjelang tahun baru rumah mereka pula dirobohkan untuk projek pembangunan seterusnya.
Perancang bandar yang berada di bawah kekuasaan politikus dan kapitalis hanya merangka serta melaksana arahan kayangan. Petempatan golongan bawahan dilonggokkan di kawasan rendah, sesak, serta berhabuk.
Golongan kayangan pula menempati kawasan tinggi, justeru bukit ditarah, balak dilapah, dan kehijauan dicemari atas nama pembangunan.
Hari ini kaum pemodal dan kapitalis rakus menfaraidkan wilayah negara bersama penguasa politik. Mereka tidak peduli bahasa dan budaya Melayu. Mereka lakukan apa saja kerana boleh pergunakan akta untuk mencapai keinginan sendiri.
Semua yang pelik ada di Kuala Lumpur. Apa pun saya berlapang dada menanti Kuala Lumpur Madani. Bak kata sajak A Latiff Mohidin: Ingatan adalah musuhmu yang setia!
IMLAN ADABI ialah penulis yang menanti Kuala Lumpur dan harga dirinya yang merdeka.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.