Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buruh Cameron Highlands minta PM bantu bina rumah PPR

Sekumpulan pekerja dari Cameron Highlands menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk merangkumkan masalah perumahan mereka yang berlarutan dalam Belanjawan 2023.

Kumpulan itu, yang terdiri daripada mereka yang hidup dalam kemiskinan, berkumpul berhampiran Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini diwakili oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

Sekurang-kurangnya 40 orang hadir pada demonstrasi itu, termasuk keluarga muda dan warga emas.

Menurut kumpulan itu, Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran Jalan Ringlet di Cameron Highlands berada dalam keadaan terumbang-ambing sejak 2017 kerana peruntukan untuk pembinaannya masih belum diluluskan.

“Di Cameron, hanya terdapat dua kawasan PPR iaitu satu di Tanah Rata dan satu lagi di Brinchang. Pangsapuri PPR terakhir dibina pada 1970-an, hampir 50 tahun lalu,” kata Setiausaha Agung PSM Sivarajan Arumugam semasa sidang media.

Sivarajan juga menambah bahawa pembinaan PPR baru telah pun diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan pada 2019 tetapi ia memerlukan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

Kumpulan itu cuba meminta bantuan daripada Kementerian Kewangan untuk meluluskan pembinaan itu, walaupun mereka masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada kementerian sejak itu.

"Mereka datang jauh-jauh dari Cameron ke Putrajaya hari ini untuk meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim, terutamanya kerana dia juga menteri kewangan, agar menambah tuntutan mereka dalam pembentangan belanjawan akan datang," katanya.

‘PR1MA masih terlalu mahal’

Sivarajan menyebut pada 2020, selepas kumpulan itu menghabiskan masa tiga tahun meminta rumah pangsapuri itu dibina, kerajaan negeri Pahang pernah memberi cadangan supaya mereka tinggal di rumah PR1MA.

Skim Pembiayaan Rumah Inovatif PR1MA (PR1MA) adalah inisiatif mesra pembeli untuk membolehkan isi rumah daripada kalangan keluarga muda, berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah pada kadar berpatutan tanpa pinjaman yang besar.

Skim ini hanya terpakai kepada rumah yang dibangunkan oleh PR1MA.

Sivarajan menarik perhatian bahawa di bawah negeri Pahang, rumah Semi-D yang baru dibina menelan kos paling banyak RM150,000. Bagaimanapun, rumah pangsa kos rendah khususnya di Cameron Highlands berharga RM200,000.

“Jadi apabila kerajaan negeri mencadangkan ini kepada buruh, mereka merasakan kerajaan agak tidak berhubung dengan ‘B40 sebenar’, seperti yang mereka gelar.

“Adakah kerajaan fikir pekerja ladang mempunyai wang RM200,000?

“Mereka hanya mahukan rumah pangsapuri. Walaupun mereka tidak mampu memilikinya, mereka hanya mahukan rumah yang selamat dengan sewa yang berpatutan,” kata Sivarajan.

'Kami hanya mahukan rumah yang selamat'

Majoriti yang hadir pagi ini adalah pekerja ladang dan buruh kasar yang sekadar mendapat gaji minimum.

Dikatakan bahawa sekurang-kurangnya 1,000 orang di Cameron Highlands memerlukan rumah yang sesuai tetapi disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat terutama di daerah itu, majoriti daripada mereka terpaksa membina rumah di lokasi tidak berlesen.

Seorang daripada mereka, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Sharifah berkata, dia bekerja di ladang dekat Brinchang sejak 30 tahun lalu.

Dia berkata bahawa dia kini tinggal di ladang itu sendiri di rumah buatan sendiri tanpa harta atau permit perumahan.

Sharifah menyatakan, pemilik ladang memberi kebenaran kepada pekerja untuk membina kediaman mereka, namun mereka masih tidak selesa dan tidak berasa selamat berada di lokasi tersebut.

“Tanpa sebarang permit atau pelesenan, sukar untuk kami mendapatkan air atau elektrik dengan mudah dan kediaman kami tidak dilindungi.

“Kami terdedah kepada tanah runtuh dan mungkin juga banjir. Sukar juga bagi anggota bomba dan polis untuk sampai ke rumah kami sekiranya berlaku kecemasan.

"Ramai orang di sini hari ini berkongsi beban saya dan apa yang kami minta ialah satu lagi PPR dibina - kami hanya mahukan rumah yang selamat," tegas Sharifah.

Sharifah juga menyebut bahawa pasaran perumahan untuk keluarga berpendapatan rendah adalah sangat kompetitif.

Dia berkata apabila ada unit kosong di salah satu PPR sedia ada di Cameron Highlands, hampir setiap isi rumah B40 yang mencari rumah akan berebut-rebut untuk mendapatkannya.

“Saya harap perdana menteri melihat memorandum kami kerana kami telah meminta pangsapuri itu sejak sekian lama," katanya.

Selepas demonstrasi mereka di Pejabat Perdana Menteri, kumpulan itu kemudian menghantar memorandum tambahan kepada Menteri Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Bagaimanapun, seorang ahli PSM mendedahkan di Twitter bahawa kumpulan itu terpaksa menunggu di luar ibu pejabat kementerian selama lebih sejam sebelum setiausaha politik Nga, Chiong Yoke Kong keluar untuk menerima dokumen itu.

Chiong juga bekas Adun Tanah Rata.

Pada 24 Feb, Belanjawan 2023 akan dibentangkan semula di Parlimen.

Anwar sebelum ini dilaporkan menyatakan Belanjawan 2023 tidak akan dikekang oleh cadangan yang dibuat oleh pentadbiran terdahulu.

Bagaimanapun, angka-angka Belanjawan 2023 yang disemak semula, katanya, akan mengambil kira cadangan yang dibuat dalam belanjawan sebelumnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS