Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Kepong: Mana kamera badan polis?
Diterbitkan:  Jan 31, 2023 11:30 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mempersoalkan pelaksanaan kamera badan yang sepatutnya disediakan untuk kegunaan anggota polis yang bertugas dua tahun lalu.

Menurutnya, ia adalah isu penting yang perlu dititik beratkan memandangkan kerajaan baru mengutamakan reformasi dalam badan kepolisian.

Lim membangkitkan semula perkara itu susulan polis menyerbu sebuah premis persembahan muzik ‘underground’ di Pulau Pinang dan penganjurnya ditahan lebih 12 jam kerana tidak mempunyai lesen persembahan.

Insiden itu tular di media sosial semalam selepas beberapa pemuzik dan pencinta muzik dalam dalam luar negara mengulas isu itu Ahad lalu.

Salah seorang pemiliknya Shaik Fitri berkata polis menyerbu premis itu kira-kira jam 11 malam, memeriksa kad pengenalan dan bertanya berkaitan lesen.

Shaik berkata tiga ditahan susulan merakam gambar serbuan tersebut dan polis memberitahun tidak dibenarkan mengambil gambar dan meminta mereka memadam gambar tersebut.

Mereka kemudiannya dibebaskan selepas sejam ditahan.

Lim mengecam penahanan tiga individu yang merakam serbuan itu sambil menyifatkannya sebagai tindakan menekan orang awam.

Tambahan pula katanya, perbuatan merakam yang dianggap "mengganggu tugas pihak berkuasa" pula sangat subjektif dari segi undang-undang.

"Sekiranya orang awam tidak dibenarkan merakam, adalah lebih bagus agar kamera badan (body camera) dipasang ke atas pihak polis yang menjalankan tugas.

"Pembelian alatan-alatan berkenaan oleh pihak polis sudah dijadualkan pada tahun 2021, kini sudah pun tahun 2023 - bilakah perkara ini akan dikuatkuasakan?" soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Nov 2020 memaklumkan anggota polis dijangka akan mula dilengkapi dengan kamera badan mulai tahun 2021.

Bagaimanapun sehingga kini ia belum dilaksanakan, manakala Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam perkembangan terkini menyatakan proses perolehan sedang dilaksanakan dan berharap tiada sebarang masalah untuk mendapatkan kamera badan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS