Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Senario dalam Umno kali ini berbeza dengan ketika Anwar dipecat 1998'

Senario pemecatan nama-nama besar dalam Umno seperti bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin tidak boleh disamakan dengan pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998, kata penganalisis politik.

Dengan membandingkan antara Khairy dan Anwar, Pakar Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan berkata kedudukan kedua-dua ahli politik itu di dalam parti dan kabinet amat berbeza ketika mereka dipecat Umno.

Katanya, Anwar ketika disingkirkan pada 1998 merupakan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno ketika itu.

Berbeza dengan Anwar, katanya, Khairy dilihat tidak memberi cabaran yang besar kepada presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Walaupun KJ hari ini dikatakan mempunyai cita-cita yang tinggi, tetapi asasnya belum ada lagi bagi KJ untuk memberi cabaran, sama ada kepada presiden Umno (Ahmad Zahid) itu sendiri ataupun cabaran untuk menjadi perdana menteri agak jauh.

“Sama juga dengan (ahli parlimen Sembrong) Hishammuddin Hussein (yang digantung keahlian). Jadi senario ini agak berbeza dan senario hari ini adalah tidak serumit seperti 1998,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 2 September 1998 Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu dipecat daripada kerajaan atas tuduhan salah laku seks. Pemecatan itu mencetuskan siri demonstrasi jalanan diadakan di ibu kota dan gerakan reformasi.

Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar, Umno BN masih mendapat sokongan orang Melayu pada 1998 berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ketika itu (1998) Umno masih lagi parti yang kuat mewakili segmen orang Melayu tetapi pasca PRU15 dengan pencapaian hanya 26 kerusi yang dimenangi oleh Umno, itu adalah pencapaian terburuk,” katanya.

Bagaimanapun, Azmi dan Hisomuddin berpendapat, walaupun pemecatan Khairy dan bekas pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Noh Omar menimbulkan kebimbangan terhadap akar umbi parti, mereka berpandangan Umno mampu mengendalikan isu tersebut.

Ini memandangkan parti itu telah berdepan dengan beberapa siri pemecatan yang melibatkan nama-nama besar dalam parti seperti Muhyiddin Yassin ketika menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menter.

Malah katanya, bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir juga pernah disingkirkan sewaktu pentadbiran Najib Razak.

Oleh itu untuk pemulihan semula parti, jawatan-jawatan yang bakal diisi dengan “muka-muka neutral” perlu ditonjolkan pada pemilihan parti.

Golongan neutral yang dimaksudkan oleh Azmi merujuk kepada individu yang dilihat tidak terlalu memihak kepada Zahid dan pada masa sama tidak menentang presiden parti itu.

“Alternatif dan ramuan terbaik untuk Umno, terletak kepada ahli Umno yang bakal mengundi dalam pemilihan,” katanya.

Azmi juga menjangkakan Umno akan bekerjasama dengan PH dalam beberapa pilihan raya negeri tidak lama

Oleh itu katanya, kesan yang perlu dilihat adalah sewaktu PRN, di mana Umno perlu membuktikan kepada PH bahawa parti itu stabil dan sepakat.

Umno bermasalah sebelum pemecatan lagi

Bagaimanapun, Hisomuddin berkata di sebalik kelebihan Umno yang merupakan parti yang telah matang berdepan dengan perpecahan dalaman, ia harus berhati-hati dengan proses pemulihan parti sedia ada.

Katanya, konflik dalaman parti itu bukannya berlaku sejak pemecatan dan penggantungan keahlian baru-baru ini, sebaliknya berlaku sejak PRU15, apabila Umno menunjukkan prestasi terburuk dalam sejarahnya.

“Kematangan mereka itu diuji dengan penolakan besar-besaran… sokongan orang Melayu terhadap mereka itu yang menjadi cabaran kepada Umno untuk bangkit balik dalam keadaan mereka terpaksa mengambil tindakan terhadap kepimpinan-kepimpinan yang mempunyai nama besar dalam parti.

“Tapi dalam masa yang sama mereka terpaksa menyusun kembali dengan tenaga dan tokoh-tokoh yang ada bagi berdepan dengan keyakinan semula orang Melayu kepada mereka,” katanya.

Tambahnya sejak kekalahan teruk dalam PRU15, kepimpinan Umno gagal memberikan penjelasan yang tuntas kepada akar umbi tentang mengapa parti itu perlu menerima DAP dan Anwar yang merupakan seteru politik mereka sejak sekian lama, bagi membentuk kerajaan.

“Di peringkat akar umbi tu belum selesai lagi. Malahan, keterujaan (menyertai kerajaan) itu tidak berlaku di peringkat akar umbi Umno, seperti di beberapa negeri sebagai contoh di Perak, Pahang.

“Seluruh negara pun sebenarnya, kita tak nampak pun keterujaan mereka ini apabila nak tubuh kerajaan… seakan-akan tiada euphoria (keterujaan) yang berlaku dalam kalangan ahli Umno. Itu petanda yang tidak baik kepada Umno dan BN,” katanya.

Katanya, jika penjelasan gagal disampaikan ke peringkat akar umbi sehingga menjelang PRN, peluang Umno untuk bangkit akan terjejas.

“Perkara ini juga akan heret Pakatan Harapan. Pakatan Harapan juga akan turut terkena tempiasnya,” katanya yang juga membayangkan Umno akan bersama dengan PH pada enam PRN akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS