Seorang pakar pemuliharaan hidupan liar Dr Ahmad Zafir Abdul Wahab berkata perubahan guna tanah di kawasan tradisional gajah liar menyebabkan mamalia tersebut menerokai kawasan manusia untuk mencari makanan.
Oleh itu, jelasnya konflik manusia-gajah telah menjadi lebih kerap berlaku.
"Apa yang diperlukan sekarang ialah menawarkan pendidikan.
“Terdapat cara untuk memperkasakan komuniti yang terjejas dengan pengetahuan untuk mengurus interaksi manusia-hidupan liar dengan lebih baik untuk mengelakkan kemudaratan kepada harta benda, kecederaan dan kehilangan nyawa," kata sarjana yang mengkaji mamalia besar termasuk gajah itu.
Lantaran itu, katanya penduduk yang tinggal di pinggir habitat gajah perlu diberitahu mengenai tindakan yang perlu dilakukan jika terserempak dengan haiwan itu.
Ini selepas seorang remaja Orang Asli terbunuh pada 9 Jan dalam serangan gajah di Kampung Tual, Pos Sinderut, berhampiran Sungai Koyan di Pahang.
Penduduk tempatan berkata mamalia besar itu tidak pernah dilihat sebelum ini di kawasan berkenaan.
Ia merupakan serangan maut kedua gajah membabitkan kaum Orang Asli di kawasan itu, dalam tempoh dua bulan.
Kapsyen: Poster by NGOs Hutan and Seratu Atai on elephant behaviour.
Bukan hanya isu Orang Asli
Menurutnya, konflik seumpama itu bukan sahaja memberi kesan kepada Orang Asli yang penempatan mereka selalunya dalam hutan simpan, tetapi juga masyarakat lain termasuk di kawasan perumahan bandar.
Pada Disember lalu, seekor gajah liar memasuki penjara di Kluang manakala kawanan haiwan itu turut masuk ke kawasan perumahan di daerah yang sama sejak beberapa bulan lalu.
Ahmad Zafir berkata program kesedaran masyarakat sebegini sudahpun dilaksanakan di Sabah, untuk mendidik penduduk yang berkemungkinan berkonflik dengan mamalia besar itu, tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya ia berlaku.
"(Penduduk kampung) diajar, 'bila anda melihat gajah mengepakkan telinga, apakah maksudnya? Apabila gajah meletakkan belalainya atau mengikis kakinya, apa yang perlu anda lakukan?'" katanya.
Ahmad yang juga pengarah program Yayasan Habitat juga berkata, hutan simpan Ulu Jelai berhampiran Pos Sinderut merupakan habitat gajah dan aktiviti yang menjejaskan hutan boleh mendorong beberapa hidupan liar itu mendekati populasi manusia.
Justeru, masyarakat sekitar perlu berwaspada dan mengambil tahu apa yang perlu dilakukan, walaupun sebelum ini mereka tidak pernah menghadapi masalah dengan gajah liar.
Mencari garam, rumput dan pokok renek
Katanya, penebangan hutan mungkin telah memusnahkan kawasan jilat garam semulajadi maka gajah mungkin masuk ke kampung mencari garam untuk memenuhi keperluan mineral haiwan itu.
Ahmad Zafir menambah gajah juga memasuki dusun dan kebun kecil untuk memakan rumput dan pokok renek jika sukar mencarinya di dalam hutan.
"Gajah merayau sangat jauh, di kawasan seluas lebih 300 km persegi bagi setiap kawanan. Jadi kita perlu melihat apa yang telah berlaku di kawasan tempat haiwan itu merayau," katanya.
Selanjutnya, katanya, serangan di Pos Sinderut berlaku di kawasan hutan berhampiran kampung itu dan bukannya di kampung itu sendiri.
Ini menjadikan masyarakat lebih penting untuk mengetahui apa yang patut mereka lakukan semasa aktiviti mencari hasil hutan, apalagi kini selepas gajah diketahui berkeliaran di kawasan itu.
Dalam serangan itu, Andy Yok Manin, 15, terbunuh manakala dua lagi, abangnya Borhan, 23, dan saudaranya Fairul Yok Tong, 22, berjaya melarikan diri apabila gajah itu menyerang mereka.
Remaja itu terserempak dengan haiwan tersebut ketika mereka mencari petai di kawasan hutan berhampiran kampung mereka.
Ahmad Zafir berkata konflik manusia-gajah selanjutnya boleh dielakkan jika merujuk data sedia ada mengenai kawasan-kawasan gajah dan rangkaian hutan teras semenanjung Central Forest Spine, sebelum sebarang perubahan guna tanah diluluskan.
"Tujuan keseluruhan Central Forest Spine adalah untuk mengelakkan perubahan guna tanah di kawasan ini dan bertujuan untuk memperkaya dan menghubungkannya semula.
"Kita tidak seharusnya melupakan matlamat ini dan kembali kepada Rancangan Fizikal Negara kita," katanya.
"Apa yang biasa berlaku sekarang ialah, apabila kita mencapai langkah-langkah mitigasi, ia sudah berbahaya dan sudah terlambat kerana banyak habitat gajah telah ditukar."
Central Forest Spine ialah rangkaian koridor semula jadi di Semenanjung Malaysia, digunakan oleh hidupan liar untuk bergerak dari satu kompleks hutan ke kompleks hutan yang lain, manakala Rancangan Fizikal Negara antara lain telah menandakan kawasan yang dianggap sensitif terhadap alam sekitar dan penting untuk hidupan liar.
Perhilitan: Gajah dipercayai kembali ke hutan
Terdahulu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata sepasukan anggota Perhilitan Pahang dan Pusat Pemuliharaan Gajah Negara di Kuala Gandah memulakan operasi menangkap gajah itu di Pos Sinderut pada 10 Jan lepas.
Pada 12 Jan, jejak menunjukkan ia bergerak ke arah Pos Betau, menyeberangi Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands, untuk memasuki semula Hutan Simpan Ulu Jelai, kata jabatan itu minggu lepas.
Pos Betau dan Pos Sinderut terletak kira-kira 65km antara satu sama lain melalui jalan darat dan dipisahkan oleh hutan tebal.
Jabatan itu juga bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) untuk meningkatkan kesedaran dan langkah mitigasi terhadap konflik hidupan liar di penempatan Orang Asli.
Susulan serangan itu, Perhilitan pada pemberitahuan di Facebook turut menyiarkan poster yang menunjukkan cara mengelak konflik gajah dan apa yang perlu dilakukan jika terserempak gajah liar.
Ketua Kampung Tual, Yok Ek Cantan (gambar, bawah) ketika ditemui Malaysiakini di kampungnya selepas serangan itu berkata penduduk kampung mungkin terpaksa mengambil keputusan sendiri jika tiada apa-apa yang dilakukan pihak berkuasa.
Sebelum serangan, gajah yang sama dipercayai berkeliaran di sekitar dusun mereka - kali pertama gajah itu dilihat berhampiran kampung mereka, kata Yok Ek, yang keluarganya telah tinggal di sana sekurang-kurangnya lima generasi.
Bagaimanapun, katanya, gajah telah dikesan sejak sekitar 2018 di Kampung Simoi, di Pos Betau, apabila penebangan hutan mula berlaku.
Pada 6 Dis, seorang wanita di Kampung Simoi Baru mati dipijak oleh seekor gajah, yang melanggar rumah kayunya.
Insiden di Pos Sinderut adalah yang kedua membabitkan gajah liar tahun ini, dengan Perhilitan berjaya memindahkan seekor gajah yang memasuki sebuah kampung di Bongor, Kedah, ke "habitat sesuai" yang tidak dikenal pasti pada 12 Jan.
Spesies terancam
Gajah Asia merupakan spesies hidupan liar terancam, dengan Perhilitan menganggarkan kurang daripada 1,700 berada di habitat semulajadi Malaysia.
Antara ancaman kepada kewujudan mereka ialah kehilangan habitat, yang juga membawa kepada konflik manusia-gajah.
Antara 2015 dan 2021, Perhilitan merekodkan 3,325 aduan konflik manusia-gajah.
Dari Januari hingga Jun tahun lepas, kira-kira 435 aduan serupa dilaporkan.