Anak kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Nazifuddin menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib ketua pemuda Umno dalam pemilihan parti yang bermula bulan depan.
Nazifuddin berkata dia berhasrat untuk menarik kembali minat anak muda terhadap parti itu dan ia akan menjadi sumbangan utamanya jika diberi peluang memegang jawatan tersebut.
“Saya dengan penuh rendah hati ingin menawarkan diri mengisi jawatan naib ketua pemuda Umno.
“Saya sedar cabaran besar utama adalah menarik minat sokongan muda untuk kembali ke arah Umno. Oleh itu, saya bersedia mendepani perkara utama ini,” katanya menerusi akaun media sosialnya.
Penyandang naib ketua pemuda Umno Shahril Hamdan Suffian antara pemimpin Umno yang digantung keahlian selama enam tahun pada Jumaat lalu.
Menerusi video pengumuman yang dimuat naik dalam Facebook, Nazifuddin yang merupakan ahli Umno Langkawi berkata bahawa dia berharap dapat menyumbangkan usahanya kepada parti.
“Keutuhan berpasukan, persepaduan dan kesepakatan dalam setiap gerak kerja amatlah diperlukan.
“Sebagai ahli parti, sudah pastinya ini elemen utama yang menjadi intipati yang sekian lama menjadi didikan pada diri saya.
“Boleh saya sumbangkan kembali kepada parti yang telah banyak berjasa ini. Bukan sahaja untuk orang Melayu malahan kepada keseluruhan rakyat Malaysia juga,” katanya lagi.
Pemilihan Umno akan bermula 1 Februari ini, di mana peringkat cawangan, pemuda
Pemilihan Umno akan dimulakan dengan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, pemuda, wanita dan puteri cawangan mulai 1 Februari ini.