Umno Bahagian Sembrong menuntut penjelasan dari kepimpinan tertinggi parti itu berhubung tindakan menggantung ketuanya, Hishammuddin Hussein selama enam tahun.
Tuntutan itu disuarakan menerusi sidang media yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Umno Sembrong hari ini.
Timbalan Ketua Umno Sembrong Abd Ghani Abd Rashid berkata mereka terkejut dengan keputusan yang dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), seolah-olah Hishammuddin telah melakukan kesalahan berat seperti mengkhianati parti sehingga dijatuhkan hukuman itu.
“Umno Sembrong rasa amat berat (tempoh) enam tahun ini, seperti betul-betul individu yang nak khianati atau rosakkan parti. Padahal tak ada pun langkah (pengkhianatan) dibuat...(Hukuman) tiada pertimbangan yang dibuat, tanpa proses sewajarnya.
“Saya difahamkan tak ada surat tunjuk sebab, tak ada sesi pendengaran dalam Lembaga Disiplin dan sudah tentulah hukuman tak ambil kira jasa dan pengorbanan beliau (Hishammuddin) dalam pelbagai peringkat kepimpinan parti sebelum ini.
“Keseluruhan ahli Umno Sembrong tuntut penjelasan yang sejelasnya daripada MKT berhubung sebab penggantungan sedemikian diberikan kepada mantan ketua Umno Sembrong, Hishammuddin Hussein,” katanya.
Sidang media itu dibuat sebaik selepas mesyuarat Umno Sembrong, dua hari selepas pengumuman berkenaan hukuman terhadap ketua mereka.
Selain Hishammuddin, turut digantung selama enam tahun adalah bekas ketua penerangan Shahril Sufian Hamdan, bekas ahli parlimen Jempol Salim Sharif dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang.
Bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan ahli MKT Noh Omar pula dipecat.
Mereka yang dikenakan hukuman itu, serta naib presiden Ismail Sabri Yaakob yang ada ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang memutuskan pemecatan itu, mendakwa ia tidak dibuat mengikut proses yang sewajarnya.
Setakat ini tiada penjelasan rasmi dibuat berhubung penggantungan Hishammuddin namun ahli MKT Puad Zarkashi sebelum ini mendakwa keputusan itu kerana dia antaranya memainkan peranan utama mengumpulkan sokongan untuk Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri selepas PRU15.
Ketika ditanya jika Umno Sembrong akan menyarankan Hishammuddin agar membuat rayuan Abd Ghani berkata ia terserah kepada ahli parlimen Sembrong itu sendiri.
“Saya lebih serahkan kepada Hishammuddin sendiri. Dia ada prinsip yang tersendiri.
“Tapi bagi pihak kita, (mahu) ada semakan. Kita harap ada semakan kepada hukuman ini, dimulakan dengan tata cara yang betul - proses itu kena ikut supaya apa yang dapat diluahkan oleh orang yang dituduh itu dapat didengar, supaya pandangan lain dapat dikaji maka akan ada satu tindakan yang lebih tepat,” katanya.
'Tindakan tidak cermat'
Mengulas lanjut, Abd Ghani berkata penjelasan segera perlu diberikan kepada lebih 14,000 ahli Umno Sembrong sebelum keadaan menjadi lebih parah.
“Saya gambarkan tindakan yang diambil oleh pimpinan tertinggi parti sebagai tidak cermat, sedangkan isunya lebih kepada berlainan pandangan atas matlamat yang sama untuk masa depan parti, tapi diurus dengan cara hukuman yang berat,” katanya.
Semalam, Hishammuddin yang juga cucu kepada pengasas Umno, Onn Jaafar berkata keputusan dibuat Umno tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.
Bagaimanapun, Hishamuddin tidak memperincikan lebih lanjut mengenai langkah seterusnya yang akan diambil.