Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM pertahan kelayakan Nurul Izzah sebagai penasihat kewangan, ekonomi
Diterbitkan:  Jan 29, 2023 7:05 PM
Dikemaskini: 12:27 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan kelayakan Nurul Izzah untuk menjadi penasihatnya dalam soal ekonomi dan kewangan.

Ia selepas dia ditanya sama ada anaknya itu - yang memegang ijazah sarjana muda dalam jurusan kejuruteraan - layak atau tidak untuk memegang jawatan itu.

Anwar berkata Nurul Izzah juga memiliki ijazah dalam dasar awam dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies.

Pemeriksaan ke atas profilnya mendapati ia merupakan ijazah peringkat sarjana.

Anwar yang turut memegang portfolio kewangan berkata dia juga tiada kelayakan formal dalam bidang itu, begitu juga dengan ramai pemimpin PN yang pernah memegang jawatan menteri.

Untuk rekod, Anwar merupakan pelajar jurusan Pengajian Melayu ketika menuntut di Universiti Malaya.

"Menteri dari PAS, Bersatu juga tiada kelulusan dalam bidang masing-masing.

"Adakah benar seorang menteri kesihatan mesti (seorang doktor), atau menteri air kena (sebagai) jurutera?" soalnya ketika sidang media di Tambun, Perak hari ini.

Nurul Izzah memaklumkan dia menjadi penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Anwar, berkuat kuasa 3 Jan lalu, dalam wawancara bersama The Star yang diterbitkan hari ini.

Ditanya berkenaan perkara itu, Anwar membalas: "Apa yang penting sekali, termasuk untuk saudara Peja, hentikan curi tanah, balak, saham, projek dan komisen. Ini yang jahanamkan negara."

Anwar berkata, dia juga tidak mendengar ada dalam kalangan pengkritik kerajaan yang menyuarakan sokongan terhadap usaha membersihkan negara daripada masalah tersebut.

Dia juga berkata Nurul Izzah tidak menerima sebarang elaun daripada jawatan barunya itu.

"Saya tak bayar apa-apa elaun kepada dia," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pusat khidmatnya di Tambun, Perak.

Anwar juga tidak menerima sebarang bayaran daripada jawatannya dalam kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS