Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hisham bincang langkah seterusnya dengan Umno Sembrong
Diterbitkan:  Jan 28, 2023 10:09 PM
Dikemaskini: 2:20 PM

Hishammudin Hussein berkata dia akan berbincang dengan kepimpinan Umno Sembrong bagi mengambil tindakan selanjutnya selepas digantung selama enam tahun oleh parti itu semalam.

Ahli Parlimen Sembrong itu juga memberi bayangan bahawa keputusan itu bukanlah sebuah pengakhiran, sebaliknya merupakan permulaan baru.

"Berkenaan apa langkah seterusnya saya terpaksa berbincang dengan kepimpinan Umno Sembrong dan tindakan saya selanjutnya," katanya dalam satu rakaman video.

Bagaimanapun Hishamuddin tidak memperincikan lebih lanjut mengenai langkah yang akan diambil.

Selain Hishammuddin, Umno turut menggantung dan penyandang timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan selama enam tahun.

Parti itu juga memecat bekas ketua pemudanya, Khairy Jamaluddin dan bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor, Noh Omar atas dakwaan melanggar disiplin parti semasa pilihan raya umum lalu.

Hishammuddin yang juga cucu kepada pengasas Umno, Onn Jaafar berkata keputusan dibuat Umno tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.

"Apa yang berlaku tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk cekal berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

"Ini bukanlah pengakhiran, this is not the end but merely a beginning. A new beginning," katanya dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu HIshammuddin dalam kenyataan ringkas di Instagram berkata: "Kejahatan mereka tidak mampu hilangkan kebaikan kita."

‘Saya takkan rayu, u-turn’

Sementara itu penyandang Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Sufian Hamdan pula menegaskan tidak akan merayu atau membuat pusingan -u berhubung tindakan parti itu menggantungnya selama enam tahun.

Shahril, dalam rakaman video yang dimuat naik di platform media sosialnya, berkata ada pihak yang meminta supaya dia membuat rayuan.

Bagaimanapun, dia mempersoalkan bagaimana proses rayuan boleh dilakukan sedangkan Umno tidak mengikut prosedur yang betul ketika membuat keputusan menggantungnya.

“Nak rayu macam mana, sedangkan prosedur asal pun tak guna prosedur yang betul, takkan rayuan pula tiba-tiba jadi okey.

“Mungkin mereka mengharapkan kita u-turn, kita berdiam diri, kita ikut.

“Sorrylah, saya tidak boleh buat perkara itu," katanya.

Shahril dalam pada itu mengakui dia masih menyayangi rakan-rakannya dalam Umno.

"Memang kita nak tunjuk kita fighter dan saya nak jadi fighter.

"Saya masih ada rasa sayang yang teramat sangat terhadap ahli-ahli Umno, kawan-kawan yang telah bina persahabatan tersebut.

"Hari ini mungkin terlalu awal untuk saya buat keputusan. Saya ada kemahuan, keinsafan untuk menyumbang apa cara sekali pun dalam pembangunan bangsa dan tanah air.

"Insya-Allah, Sharil Hamdan kalau dah jadi fighter kita takkan gostan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS