Khairy Jamaluddin berkata pemecatannya daripada Umno dibuat tanpa mengikut proses sepatutnya.
Bekas ahli parlimen Rembau itu berkata dia tidak diberikan surat tunjuk sebab atau dibawa ke lembaga disiplin Umno sebelum dipecat.
"Sah tiada proses sewajarnya. Tiada surat tunjuk sebab, tiada pendengaran disiplin. Dipecat secara terus dan secara sepihak oleh sebuah parti yang saya setia selama 23 tahun," katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Hantaran itu turut memaparkan tangkap layar laporan berita yang mempersoalkan sebab yang membawa kepada pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin Umno semalam.
Turut dipecat adalah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, juga atas sebab melanggar disiplin parti. Seramai 42 ahli Umno lain turut dipecat daripada parti itu atas pelbagai kesalahan lain.
Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Sufian Hamdan, bekas ahli parlimen Jempol Salim Sharif dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang digantung selama enam tahun.
Terdahulu, Khairy menyuarakan hasrat untuk mencabar Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan presiden dalam pemilihan Umno akan datang.
Ketika Perhimpunan Agung Umno pada 14 Januari lalu, dia mendakwa ada cubaan untuk membawa masuk 'pengundi hantu' bagi meluluskan usul tambahan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
'Siapa yang sangka?'
Sementara itu, Hishammuddin dalam satu hantaran di media sosial berkata "kejahatan mereka tidak boleh membuatkan kebaikan kita hilang", namun tidak merujuk mana-mana pihak secara khusus.
Dalam hantaran itu, dia memuat naik gambarnya sedang memujuk seorang ahli Umno.
Di hantaran itu, Khairy meninggalkan komennya dengan memberi galakan kepada Hishammuddin, berkata perjalanan mereka masih belum berakhir.
"Siapa sangka yang ini menjadi sebahagian perjalanan kita bersama.
"Tetapi seperti yang saya katakan, ini bukan penamatnya. Jauh sekali," kata Khairy.