Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dulu KJ gelar saya lobakman, sekarang Allah tunjuk siapa IQ rendah'
Diterbitkan:  Jan 28, 2023 5:06 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam menyindir Khairy Jamaluddin susulan pemecatannya daripada Umno semalam.

Dalam satu hantaran di media sosial, Lokman berkata Khairy pernah menggelarnya sebagai 'lobakman' dan mempunyai IQ rendah kerana mempertahankan bekas perdana menteri, Najib Razak.

"Dulu, KJ kata sebaik sahaja dia jadi presiden, dia nak pecat saya kerana kononnya IQ saya rendah sebab masih mempertahankan Datuk Seri Najib selepas beliau berhadapan pendakwaan di bawah regim Zalim Mahathir (Mohamad).

"Malah beliau mengelar saya sebagai “Lobakman”, satu gelaran yang melekat sehingga kini.

“Semalam, Allah tunjukkan siapa sebenarnya yang IQ rendah," katanya.

Dalam hantaran sama, Lokman berkongsi tangkap layar ciapan Khairy terhadapnya pada 2018 yang menggelarnya memiliki IQ rendah seperti lobak.

Ciapan itu berbunyi: “You better pray i dont become president of Umno. First thing i'll do is sack you for having the IQ of a carrot.

(Baik kamu berdoa saya tak jadi presiden Umno. Perkara pertama yang saya akan buat ialah pecat kamu kerana memiliki IQ seperti lobak).

"Akhirnya dia yang dipecat sebelum dia sempat pecat saya. Apapun, lobak tu bagus untuk mata, bila mata terang, kita boleh nilai yang mana kaca dan yang mana permata.

"Yang mana satu “a real leader” dan yang mana satu “a flawed leader". Saya masih ingat ada 'iceman' gelar Datuk Seri Najib Razak 'flawed'," katanya.

Semalam Umno mengambil tindakan drastik apabila mengumumkan Khairy dan bekas ketua perhubungan Umno Selangor, Noh Omar dipecat daripada parti itu.

Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein dan penyandang Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan Suffian pula digantung selama enam tahun.

Selain Khairy dan Noh, seramai 42 ahli Umno turut dipecat daripada parti itu atas pelbagai kesalahan.

'Umno akan bungkus dalam 6 PRN tak lama lagi’

Berlainan pula dengan Presiden Putra, Ibrahim Ali yang meramalkan Umno akan 'bungkus' dalam enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi berikutan keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi parti itu semalam.

Ibrahim berkata, pemecatan Umno terhadap Khairy mengulangi tindakan serupa yang dihadapinya apabila disingkirkan daripada parti itu kira-kira 20 tahun lalu

Kata Ibrahim, Umno pada masa itu diketuai Abdullah Ahmad Badawi yang juga bapa mentua Khairy.

"Ia sama seperti saya kena gugur sebagai ketua bahagian Umno Pasir Mas pada tahun 2003, iaitu 20 tahun dulu oleh Presiden Umno Abdullah Badawi ketika itu.

"Maka saya bertanding bebas PRU 2004 sebagai tanda protes dan gugur sebagai ahli umno.

"Tentu KJ masih ingat. Saya berkelana dan dituduh katak dan macam-macam penghinaan," katanya dalam satu kenyataan.

Kata Ibrahim, sejarah kini berulang apabila ramai pemimpin dalam Umno melompat parti dan dipecat.

"Sejarah telah berulang, ramai yang melompat, ada yang kena pecat dan dihina. Kata dulang paku serpih.

"Bersabarlah. Ada hikmah tu. Yang pasti Umno/BN akan hancur dan bungkus di 6 PRN tidak lama lagi. Ramalan nujum Pak Belalalang. Insya-Allah," kata Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS