Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyamakan usaha pemulihan ekonomi Malaysia dengan perjuangannya mengurangkan berat badan, dengan berkata usaha secara perlahan akan memastikan keputusan yang lebih baik.
"Untuk jelaskan secara mudah, ia (ekonomi) hampir sama dengan masalah berat badan saya. Saya bergelut dengannya setiap hari, setiap bulan, setiap tahun.
"Tetapi saya dapati kaedah terbaik dalam mengurangkan berat badan adalah saya lakukannya dengan kelajuan sendiri dan saya kurangkan sedikit demi sedikit. Kemudian saya lihat perkembangan begitu baik, dan ia membolehkan saya jadi lebih selesa untuk terus cabar diri," katanya.
Rafizi berkata demikian ketika acara Parliament Lecture Series 1.0: Resetting the Malaysian Economy semalam.
Dia membandingkan ekonomi dengan obesiti kerana "apabila orang jadi obes, dia akan membuka pintu kepada masalah kesihatan lain seperti kencing manis dan sakit jantung".
Terus menggunakan perbandingan itu, dia berkata jika masalah ekonomi negara dibiarkan memburuk, masalah seperti kos sara hidup tinggi atau pengangguran akan berlaku dan menghalang pemulihan negara.
Katanya, kebanyakan usaha untuk menambah baik keadaan ekonomi negara dibuat dengan melaksanakan perubahan secara radikal dan tiba-tiba dan ia memberi kesan negatif kepada kehidupan rakyat.
Katanya lagi, dia sedar betapa inisiatif itu tidak berkesan dan dia semakin kecewa melihat hasil yang diterima rakyat daripada kaedah kerajaan menangani ekonomi.
"Jadi berbanding membuat perubahan besar sehingga rakyat menerima akibatnya, kami (kerajaan) patut mengambil langkah perlahan kerana dari segi itu, kita masih boleh melangkah ke depan.
"Sebaik saja kita lakukan sebanyak yang boleh, dan rakyat semakin selesa dengan perubahan-perubahan kecil, barulah kita boleh cepatkan langkah proses pemulihan," katanya lagi.
Perlu reset ekonomi
Timbalan presiden PKR itu menyatakan sejumlah isu yang didapati kementeriannya sebagai sebab untuk menyelaraskan semula ekonomi.
Pertama, dia menegaskan kerajaan terlalu terpisah (disconnected), menyebabkan rakyat menganggap keadaan ekonomi pada masa ini tidak stabil.
"Hakikatnya ekonomi kita dalam keadaan baik tetapi rakyat tidak merasainya. Pentadbiran buat silap apabila tidak cukup telus untu menunjukkan negara bukan dalam keadaan merosot," katanya.
Dia menjadikan subsidi sebagai contoh keterpisahan itu, di mana dia bimbang jika ia tidak diperuntukkan secara betul, ia akan mengurangkan belanjawan negara.
Selain itu, dia juga berkata Malaysia perlu meluaskan hasil perolehannya, dengan berkata Malaysia antara negara yang memiliki nisbah hasil cukai dengan KDNK yang paling rendah di dunia.
"Jika kita tidak baiki perkara ini, masalah kita mungkin tidak selesai kerana ekonomi meningkat dan syarikat mendapat untung, tetapi kita tiada dana yang cukup meluaskan perolehan pada masa ini," katanya lagi.
Rafizi juga berkata penstrukturan semula perlu dibuat untuk beralih daripada ekonomi berasaskan pembuatan kepada ekonomi berasaskan perkhidmatan.
Dia berkata ekonomi global bersifat lincah dan kerajaan juga perlu menjadi sedemikian.
"Pada masa lalu, kita mampu meramalkan halangan dan kemudian terus merangka rancangan untuk mengatasinya.
"Sekarang semuanya bergerak pantas, perubahan boleh berlaku hampir setiap bulan jadi kita perlu merangka rancangan yang lebih lincah, termasuk memiliki cara berfikir yang berbeza," katanya lagi.
Memisahkan kewangan dengan ekonomi
Dalam ucapannya, rafizi mengakui ada kekeliruan apabila kerajaan mewujudkan kementerian berbeza untuk ekonomi dan kewangan dan menjelaskan kedua-dua aspek memiliki terlalu banyak masalah untuk ditangani sebuah kementerian sahaja.
Katanya, dia faham jika orang awam menjangka kedua-duanya akan bergerak seiringan.
"Ekonomi dan kewangan dipisahkan kerana ada keperluan untuk penumpuan kepada setiap satunya.
"Kedua-duanya sebelum ini di bawah payung yang sama tetapi selepas pertimbangan, kabinet sedar satu kementerian tidak boleh menangani kedua-duanya secara serentak," katanya lagi.
Rafizi turut memuji prestasi Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri setakat ini.
Walaupun baru memegang jawatan itu beberapa bulan, dia berkata Anwar telah melaksanakan peranannya dengan baik.