Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jika pemimpin dipecat Umno nak sertai PKR: Parti bincang dulu - Rafizi
Diterbitkan:  Jan 28, 2023 9:42 AM
Dikemaskini: 1:44 AM

Jika mana-mana pemimpin Umno yang dipecat baru-baru ini memohon untuk menyertai PKR maka kepimpinan parti itu perlu membincangkan perkara itu secara dalaman dan sepakat membuat keputusan.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia tidak boleh membuat keputusan bersendirian, tetapi hal tersebut perlu mendapat persetujuan secara kolektif.

"Yang itu kita kena bincang dahulu di peringkat parti. Ia bukan keputusan saya seorang.

"Saya rasa kita kena tengok perkembangan satu demi satu," katanya kepada pemberita selepas Program Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen, semalam.

Semalam, Umno memecat calon presiden parti itu Khairy Jamaluddin dan ahli majlis tertingginya Noh Omar, yang meminta dilepaskan selepas dia digantung selama enam tahun.

Beberapa pemimpin lain telah digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan penyandang timbalan ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan Suffian yang juga bekas ketua penerangan parti.

Turut digantung tugas ialah bekas ahli parlimen Jempol Salim Sharif dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi berkata pada masa ini, isu pemimpin yang dipecat dan digantung Umno ini memohon menyertai PKR cuma sekadar spekulasi semata-mata.

"Sekarang ini perkara itu tidak timbul. Kalau perkara ini timbul, barulah kita bincang tetapi belum lagi, maka setakat ini jadi spekulasi sahaja," jelasnya yang juga menteri ekonomi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS