Mesyuarat majlis tertinggi Umno malam memecat bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Tertingginya, Noh Omar, selain beberapa lagi pimpinannya digantung.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata mereka dipecat kerana melanggar disiplin parti sewaktu Pilihan raya Umum Ke-15.
Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein dan penyandang Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan Suffian pula digantung selama enam tahun.
Terdahulu, Noh juga digantung selama enam tahun namun dia meminta parti itu supaya memecatnya.
Turut digantung ialah bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.
Bagaimanapun sebab penggantungan mereka tidak dinyatakan.
Kenyataan rasmi itu juga tidak menyenaraikan nama exco pemuda Umno, Fathul Bari Mat Jahya yang sebelum itu turut disebut digantung daripada parti itu.
Selain Khairy dan Noh, seramai 42 ahli Umno turut dipecat daripada parti itu atas pelbagai kesalahan lain.
"Turut dipecat ialah lima orang ahli Umno bahagian Pasir Gudang, sembilan orang ahli Umno bahagian Putrajaya, dua orang ahli Umno bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli Umno dari negeri Pahang.
"Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU-15," katanya.
Sementara itu, Ahmad juga memaklumkan bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad digugurkan sebagai pengerusi Perhubungan Umno Johor.
Tempatnya digantikan oleh Naib Presiden Umno, Khaled Nordin.
Dalam satu reaksi segera, Khairy berkata dia tidak akan tunduk dengan keputusan yang dibuat parti itu.
"Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang yang saya berikan kesetiaan. Unbowed, unbent, unbroken," katanya.
Untuk rekod Khairy sebelum ini menyatakan hasrat untuk mencabar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan nombor satu parti itu.
Dia juga sebelum ini mendakwa terdapat "perwakilan hantu" ketika Perhimpunan Agung Umno yang meluluskan usul menghalang jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu dipertandingkan.
Khairy semalam berkata dia akan kekal setia kepada Umno dan menolak cadangan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).