Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Senaskhah Al-Quran dengan terjemahan bahasa Inggeris dibawa sebagai hadiah kepada Duta Sweden ke Malaysia Joachim Bergstrom bersama memorandum membantah pemusnahan kitab suci umat Islam baru-baru ini oleh ahli politik sayap kanan di Stockholm, Sweden.

Ia disampaikan kepada pegawai kedutaan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Azmi Abdul Hamid, Pengerusi Alliance of Global Mosques Defending Al-Aqsa Ahmad Awang dan Setiausaha Biro Antarabangsa PKR Fakhrurazi Mokhtar pada 11 pagi tadi .

Bercakap kepada pemberita di luar kedutaan di Kuala Lumpur, dengan kira-kira 100 penyokong berhimpun, Azmi berkata mesej mereka termasuk agar duta itu cuba membaca teks terjemahan untuk memahami Islam dengan lebih baik.

"Sekiranya ada apa-apa yang dia dapati tidak jelas atau jika ada sebarang pertanyaan, dia (duta) harus berasa bebas untuk menghubungi kami," kata Azmi.

Ketika dihubungi, Azmi (gambar, atas) berkata mesej penting ialah menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan, menyahut seruan keras daripada banyak negara Islam.

“Tekanan mesti diteruskan dan tidak perlu menimbulkan isu lain yang boleh menjerat umat Islam untuk melakukan tindakan keganasan atau peperangan, itu bukan langkah bijak,” katanya.

Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai protes sebelum ini yang diketuai kumpulan Islam kontroversi Hizbut Tahrir yang antara lain menguatkan gesaannya untuk kebangkitan sebuah Khalifah Islam.

“Kami perlu bertegas, menghantar mesej yang tegas dan jika mereka (Sweden) enggan mengendahkan, kami boleh mempertimbangkan untuk memboikot.

Ahli politik pelampau kanan Rasmus Paludan.

“Lebih banyak tekanan juga boleh dikenakan kepada OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana negara yang melakukan tindakan menghina seperti itu,” kata Azmi.

Azmi juga menggesa umat Islam supaya tidak termakan tindakan provokasi dengan kemungkinan berniat untuk mencetuskan Islamofobia.

“Kita mesti lebih bijak dengan taktik sedemikian dan mengambil tindakan yang betul untuk menekan mereka (kerajaan Sweden) supaya mengeluarkan permohonan maaf dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bersalah,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan (gambar, bawah) berkata dalam mengecam tindakan membakar al-Quran, sebarang seruan jihad atau berperang tidak seharusnya menjadi pendekatan yang diterima.

"Untuk berperang atau jihad saya rasa ini bukan jalur yang kita ambil.

"Kita lebih suka dengan dialog dan sebagainya untuk mendekati orang bukan Islam, mengikut cara Rasulullah SAW," kata bekas ketua Pemuda Amanah itu.

Di Malaysia, kegiatan Hizbut Tahrir telah diisytiharkan haram di beberapa negeri termasuk melalui fatwa negeri yang mengisytiharkan ajarannya bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah.

Minggu lalu, ahli politik pelampau Denmark dan pemimpin parti Stram Kurs (Hard Line) Rasmus Paludan menimbulkan kontroversi selepas dia membakar salinan kitab suci itu di Stockholm, Sweden, sehingga mencetuskan bantahan di seluruh dunia.

Partinya yang ditubuhkan pada 2017 telah bertanding di Denmark dan Sweden, tetapi gagal meraih satu kerusi dan hanya mendapat undi yang kecil.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menuntut kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan terhadap perbuatan Islamofobia ahli politik itu yang disifatkannya sebagai provokasi besar kepada umat Islam di seluruh dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS