Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larangan penggunaan PrEP kepada pasangan homoseksual belum difatwa

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) belum mengeluarkan sebarang fatwa berhubung larangan pemberian ubat profilaksis prapendedahan (PrEP) kepada pasangan homoseksual bagi mencegah HIV.

Pengerusi Mais, Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata perkara itu akan diteliti oleh jawatankuasa fatwa dan bahagian perundangan sebelum mewartakan larangannya.

Abdul Aziz, berkata Mais menolak pemberian ubat berkenaan kerana homoseksual adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

"Itu pihak Jawatankuasa fatwa dan yang melibatkan undang-undang akan mengkaji perkara itu.

PrEP

"Tapi, prinsip asasnya, untuk menggalakkan perbuatan tak senonoh homoseksual, tak sepatutnya (ia) di luar tabii manusia.

"Kita akan kaji perkara itu dan akan keluarkan kenyataan," katanya ketika ditemui media di Shah Alam, hari ini.

Abdul Aziz berkata demikian selepas Majlis Perutusan Pengerusi Mais 2023 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini pagi tadi.

Pada 19 Jan lalu, Jabatan Mufti Negeri Selangor melarang pemberian ubat PrEP yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV kepada pasangan homoseksual.

Menurutnya, pengambilan atau pemberian ubat itu hanya diharuskan kepada pasangan suami isteri.

"Iaitu dalam keadaan salah seorang daripada mereka telah dijangkiti HIV sewaktu melakukan hubungan suami isteri.

"Pemberian kepada mereka yang diketahui mengamalkan cara hidup homoseksual adalah dilarang kerana dianggap bersubahat dalam perkara dosa dan kemaksiatan,” katanya menerusi ruangan soal jawab agama di portal Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Pada 12 Dis tahun lalu, Kementerian Kesihatan akan melakukan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata projek rintis itu perlu sebelum ubat berkenaan diperakukan oleh kementeriannya untuk kegunaan awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS