Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis Penan lobi UK henti import balak ‘lestari’ Malaysia
Diterbitkan:  Jan 26, 2023 2:16 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Sekumpulan orang asal Sarawak terbang ke London bagi melobi United Kingdom (UK) supaya berhenti mengimport balak yang dianggap “lestari” oleh Skim Pensijilan Kayu Balak (MTCS) Malaysia.

Menyifatkan pembalakan di Borneo menjejaskan kawasan orang asal, mereka berkata perkataan lestari hanyalah satu acah hijau (greenwashing).

UK ialah pengimport balak ketiga terbesar di dunia yang mendapat perakuan MTCS.

Pada 23 Januari, rombongan itu menyertai 30 penyokong di Tate Modern–sebuah galeri seni di London–bagi ‘berkabung’ terhadap kehilangan hutan hujan.

Bergerak seperti “perarakan pengebumian”, mereka menyampaikan surat kepada kerajaan UK dan Raja Charles yang menuntut tindakan terhadap kerosakan hutan.

Dalam surat itu, mereka mendakwa syarikat-syarikat balak mengelirukan UK dengan dakwaan pembalakan yang berlaku sebagai mesra alam sekitar.

Pemimpin Penan yang juga ketua pegawai eksekutif NGO Keruan Komeok Joe berkata antara kawasan terjejas ialah Baram.

Kawasan itu adalah sebahagian daripada projek pemuliharaan yang disokong oleh kerajaan dan Pertubuhan Pembalakan Tropika Antarabangsa (Itta).

Bagaimanapun, syarikat pembalakan yang mengeluarkan balak daripada kawasan itu sekarang dalam proses mendapatkan pengiktirafan konsesi bawah MTCS.  

“Masyarakat Penan tempatan amat menentang sebarang pembalakan di kawasan itu, yang dipanggil Gunung Siman, kerana ia mempunyai kepentingan  budaya dan kerohanian yang tinggi.

“Kami minta kerajaan British membuka telinga mereka dan mendengar kesengsaraan kami dan seterusnya membantu kami,” katanya dalam kenyataan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS