Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wee: MCA tetap setia pada BN, kritik Umno buat keputusan sendiri
Diterbitkan:  Jan 25, 2023 11:38 AM
Dikemaskini: 3:38 AM

Presiden MCA Wee Ka Siong menceritakan semula ketegangan yang berlaku dalam BN sebaik selepas PRU15, apabila Umno didakwa membuat keputusan sendiri berhubung kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan baru.

Wee mendakwa ramai yang merayu kepada MCA untuk membubarkan gabungan tersebut ekoran tindakan Umno itu, namun dia berpendirian untuk tidak mengkhianati gabungan itu.

“Kami juga mahu Umno terus berpegang kepada semangat BN untuk mengadakan rundingan dalam kalangan parti komponen. Itulah semangat asal BN.

“Tiada satu parti yang berhak untuk bersuara hanya kerana ia mempunyai lebih banyak undi atau lebih banyak kerusi berbanding parti ahli lain. Kita (parti BN) semuanya sama rata,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

BN hanya meraih 30 kerusi Parlimen pada PRU lalu, jauh ketinggalan berbanding dua lagi gabungan politik, iaitu PH (82 kerusi) dan PN (74 kerusi).

Dalam wawancara itu, Wee yang merupakan bekas menteri pengangkutan di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan Umno ketika itu melihatkan parti itu lupa dua prinsip utama BN iaitu membuat keputusan berdasarkan rundingan dan konsensus.

“Mereka sibuk berhubung dan menjalin pakatan politik baru. Kami (MCA) melihat perkembangan politik ini tetapi memutuskan untuk tidak campur tangan dan menghentikannya.

“Umno menemui rakan kongsi baru (dalam PH yang menjadi musuh lama), dan kesetiaan parti ahli BN tiba-tiba dipersoalkan,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Umno mendedahkan usaha 10 ahli parlimen BN untuk menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri tanpa persetujuannya.

Menamakannya sebagai "Langkah St. Regis", dia juga mendakwa ia juga untuk menyingkirkannya sebagai pengerusi BN.

MCA turut terlibat dalam mesyuarat tersebut. Apatah lagi parti itu pernah menggesa Zahid meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN ekoran prestasi buruk mereka dalam PRU15.

Namun, Wee berkata parti itu tetap setia dengan BN termasuk dalam pilihan raya akan datang.

"Kami, sebagai parti BN, akan tetap menggunakan logo BN. Kami tidak pernah mengkhianati gabungan ini,” katanya lagi seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS