Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki turun Gunung Tahan dihanyutkan arus Sungai Tanum
Diterbitkan:  Jan 22, 2023 8:39 PM
Dikemaskini: 12:55 PM

Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas didakwa dihanyutkan arus deras Sungai Tanum semasa menuruni Gunung Tahan di Kuala Lipis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata pihaknya dimaklumkan kejadian yang menimpa Haniff Harun, 47, dari Kampung Paloh Haji Daud, Kuala Terengganu itu pada 2.20 petang tadi.

"Mangsa difahamkan menyertai aktiviti mendaki bersama sembilan individu dengan dipandu arah oleh masing-masing seorang malim gunung dan porter menggunakan laluan masuk di Merapoh.

"Pendakian bermula pada Jumaat lepas (20 Jan) sebelum dijangka turun pada Selasa, namun mereka terpaksa berpatah balik ke Kuala Juram akibat cuaca buruk," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azli berkata kumpulan itu perlu menyeberangi sungai selebar kira-kira 20 meter dalam perjalanan turun.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan petang tadi melibatkan polis serta bomba termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Mocsar) dan setakat ini hanya beg mangsa ditemukan berhampiran lokasi kejadian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS