Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja asing: Tak perlu khuatir kelonggaran 6 bulan pada majikan - FMM
Diterbitkan:  Jan 22, 2023 3:58 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menjawab kebimbangan aktivis berhubung kelonggaran yang diberi kepada majikan selama enam bulan selepas membawa masuk pekerja asing untuk mematuhi prasyarat di bawah pelan penggajian pekerja asing yang baru.

"Sementara kerajaan memberi tempoh enam bulan untuk mematuhi prasyarat yang telah dikecualikan di peringkat permohonan bagi mempercepatkan proses kelulusan, kami percaya apabila pekerja dari negara sumber telah bersedia (untuk ke Malaysia), yang boleh memakan masa lebih tiga bulan, majikan telah ada mekanisme pematuhan standard buruh yang diperlukan.

"Maka, tida perlu ada kebimbangan terhadap sebarang pengabaian atau kompromi terhadap keselamatan, kesihatan dan kebajikan keseluruhan pekerja," kata Presiden FFM Soh Thian Lai dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata industri sudah maklum berhubung gaji minimum, standard tempat tinggal dan kemudahan, pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa 1 Januari serta petunjuk-petunjuk berkaitan pengamalan buruh paksa.

Katanya lagi, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia juga telah meningkatkan tahap penguatkuasaan serta pemeriksaan terhadap cara majikan menguruskan pekerja asing mereka.

Soh Thian Lai

Pada Jumaat lalu, Pengarah Inisiatif North-South Adrian Pereira menyuarakan kebimbangan bahawa tempoh enam bulan yang diberikan akan membuka lagi risiko eksploitasi terhadap pekerja asing.

Dia membangkitkan rekod buruk Malaysia dalam melindungi hak pekerja asing, termasuk bukti dokumen berkenaan kes pemerdagangan manusia dan buruh paksa.

"Sekarang jika kita melonggarkan kriteria dan mekanisme pematuhan, sudah tentu kita akan meletakkan pekerja pada risiko yang lebih tinggi.

"Jadi anda tahu kita mempunyai rekod buruk, kita gagal membaiki banyak aspek proses pengambilan pekerja asing, dan sekarang anda berkata mari kita melonggarkan lagi kriteria," katanya kepada Malaysiakini.

Pereira juga mengingatkan bahawa kelemahan dalam aspek perlindungan pekerja boleh menyebabkan syarikat global menilai semula hasrat melabur di Malaysia.

Inisiatif dialu-alukan

Namun Soh mengalu-alukan tempoh enam bulan itu - bertujuan memenuhi keperluan segera terhadap tenaga kerja dalam sektor ekonomi - sebagai "positif".

Katanya, ia langkah yang baik dari kerajaan untuk menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor dan subsektor kritikal, yang menjejaskan pertumbuhan dan operasi perniagaan.

"Kami berterima kasih apabila mekanisme permohonan mengambil pekerja dikekalkan, di mana majikan akan terus menggunakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) sebelum permohonan serta pengeluaran Visa Dengan Rujukan (VDR) yang dikendalikan jabatan imigresen," katanya lagi.

Melangkah ke hadapan, Soh berkata FMM berharap proses antara kementerian menjadi lebih lancar bagi meningkatkan kecekapan sistem serta mempercepatkan proses pengambilan pekerja.

"Respons pantas oleh Kementerian Dalam Negeri, menerusi jabatan imigresen, terhadap gesaan melanjutkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin 2.0, yang akan bermula 27 Januari ini, adalah satu lagi langkah positif ke arah mengurangkan pekerja asing tanpa dokumen dan pada masa sama memberi pilihan yang lebih pantas untuk (syarikat) mengambil pekerja asing.

"Sementara anggota FFM digalakkan mengambil peluang tempoh kelonggaran serta pelan rekalibrasi berdasarkan keperluan dan kemampuan, mereka juga diingatkan untuk mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS