Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beri wang pada pengundi: Niat lebih penting, kata Hamzah

Perkara yang lebih utama yang perlu diambil kira berhubung pemberian wang tunai adalah niat di sebaliknya, kata Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mempertahankan pemberian wang tunai ketika PRU15 sebagai sedekah.

"Saya tidak begitu pasti tentang (kenyataan Hadi) itu. Tetapi, maksudnya di sini apabila kita bercakap tentang memberi wang, niat adalah lebih penting," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini.

Dia berkata ada keadaan di mana orang ramai yang meminta wang daripada calon, misalnya untuk membaiki rumah mereka.

"Saya fikir kita perlu berhati-hati berkenaan niat mengapa wang diberikan dan juga orang yang memintanya," katanya lagi.

Semalam, Hadi dilaporkan menyifatkan pemberian wang tunai oleh PAS ketika PRU15 adalah sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Katanya, undang-undang pilihan raya hanya melarang calon atau wakil calon daripada berbuat demikian dan tidak terpakai kepada "orang awam".

Kenyataan itu disangkal sejumlah pihak, termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan kenyataan itu sebagai hipokrit.

"Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah," kata Zahid.

Pada 3 Jan lepas, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 baru-baru ini bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman, berkaitan dengan pemberian itu.

Petisyen itu mendakwa PAS merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student antara 15 dan 17 Nov 2022, yang hanya beberapa hari sebelum PRU15.

Mengulas perkara itu, Hamzah berkata PN sudah bersedia dengan pasukan peguamnnya untuk berdepan dengan tindakan undang-undang itu.

"Bila dia cabar kita dengan petisyen, kita akan pastikan bahawa kita ada buktinya.

"Petisyen ini biasanya kerana rasa tidak puas hati. Tapi, kita juga pasukan peguam bela kita untuk berdepan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS